Hanya Pakatan boleh penuhi janji di Semenyih, kata Dr Mahathir


Timothy Achariam

Sia-sia undi Barisan Nasional kerana mereka berpecah dan tak mampu penuhi sebarang tanggungjawab, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2019.

HANYA calon Pakatan Harapan daripada Bersatu, Muhammad Aiman Zainali boleh memenuhi janji pilihan raya sekiranya menang di Semenyih, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu berkata semua janji dibuat Aiman ketika tempoh berkempen boleh dicapai kerana PH yang diwakili Aiman adalah kerajaan.

“Kalau pilih (calon) parti pembangkang, apa yang boleh dia buat. Lagipun, Selangor ialah antara negeri  terawal yang menolak BN. 

“Kalau Muhammad Aiman menjadi Adun saya yakin dia boleh melakukan apa yang dia rancang di tempat ini,” katanya ketika berkempen di Semenyih malam tadi.

Sekitar 2,000 orang hadir pada Ceramah Mega malam tadi yang diadakan di Tesco Semenyih.

Dr Mahathir berkata Barisan Nasional sudah berpecah belah dan tidak akan mampu memenuhi sebarang tanggungjawabnya.

“Sia-sia jika rakyat memilih Barisan Nasional.

“Kerana itulah penting untuk memilih calon yang baik.”

Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi itu berkata Umno sudah mati dan mengucapkan “takziah” kepada mereka.

Beliau turut mengambil peluang menyelar bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sinonim dengan gelaran “bossku”.

Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad malam tadi berkata, hanya calon kerajaan boleh penuhi janji pilihan raya dan menggesa pengundi Semenyih memilih Muhammad Aiman Zainali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2019.

“Perkataan boss digunakan hamba Afrika untuk memanggil tuan kulit putih mereka di Amerika.

“Jadi, bila mereka kata ‘Bossku”, ia bermakna menyamakan diri sebagai hamba.

“Kita sudah Merdeka, tiada hamba di sini.”

Semalam, Dr Mahathir juga mengecam Najib apabila bertanya bagaimana pencuri boleh jadi bos.

Beliau merujuk kepada gelaran popular Najib di media sosial dan berkata penyokong ahli Parlimen Pekan itu memilih perompak untuk jadi bos mereka.

PRK Semenyih akan diadakan esok selepas kerusi itu dikosongkan kerana kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor. Ia menyaksikan empat calon bertanding, selain Aiman mewakili PH, tiga calon lain ialah Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan Kuan Chee Heng (Bebas). – 1 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen