Lagi pemimpin PAS dipanggil SPRM esok


Kalidevi Mogan Kumarappa

BEBERAPA pemimpin PAS akan disoal siasat esok pagi di beberapa pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penerimaan dana RM90 juta dari Umno.

The Malaysian Insight difahamkan tujuh hingga sembilan pemimpin parti Islam itu akan diambil keterangan mereka bermula 9 pagi.

“Mereka dipanggil ke pejabat SPRM di Kelantan, Terengganu, Perlis dan ibu pejabat di Putrajaya,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Pagi tadi, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan disoal siasat mengenai dakwaan beliau memiliki beberapa kereta dan motosikal mewah selain nombor pendaftaran kenderaan yang eksklusif ketika dirakam keterangannya di ibu pejabat SPRM.

“Saya dipanggil untuk menjelaskan mengenai dakwaan dalam Sarawak Report oleh editornya, Clare Rewcastle Brown.

“Saya cuma ditanya mengenai isu-isu berkenaan termasuk dakwaan pemilikan kereta dan motosikal mewah.

“Mereka tidak meminta saya untuk menyerahkan apa- apa dokumen,” katanya selepas dirakam keterangan lebih empat jam hari ini.

Beliau yang meninggal ibu pejabat anti rasuah itu turut menafikan akan dipanggil semula oleh SPRM kerana sudah menandatangani kenyataannya.

Takiyuddin merupakan pemimpin PAS kedua yang disiasat bagi kes penyaluran dana berkenaan setakat ini.

Pada 8 Februari lalu, penyiasat anti rasuah sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dua lagi yang disiasat merupakan bekas pemimpin parti itu.

Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa disiasat pada hari sama, 8 Februari.

Seorang lagi, bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, disiasat dua minggu kemudian.

Takiyuddin pada 11 Februari lalu mengesahkan bahawa Nik Mohamad Abduh merupakan individu yang bercakap dalam satu rakaman suara berhubung penerimaan wang dari Umno.

Rakaman tersebut yang tersebar pada sejak Februari tahun lalu antara lain mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Wang berkenaan didakwa digunakan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Hadi menarik balik saman ke atas Ketua Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Kedua-duanya menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah London awal Februari namun artikel 6 Ogos 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Pada minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan satu lagi laporan mendakwa PAS menggunakan dana daripada Umno untuk membiaya calon parti itu bertanding pilihan raya umum Mei lalu.

Sarawak Report mendakwa, sejumlah kira-kira RM1 juta lagi didepositkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS.

Penyiasat turut menyenaraikan bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeevasan sebagai saksi dalam siasatan kes melibatkan pemimpin PAS.

Namanya disebut Rewcastle-Brown dalam tulisan yang mendakwa PAS menerima dana daripada Umno.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa ada bukti editor Sarawak Report itu menerima bayaran RM1.4 juta sebagai penyelesaian kes di mahkamah di London.

Rewcastle-Brown enggan mengesahkan dakwaan Anwar manakala PAS menyifatkan pemimpin PKR itu bercakap atas khabar angin. – 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen