Peroleh majoriti dua pertiga adalah keutamaan kerajaan, kata PM


Timothy Achariam

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berada di landasan yang betul untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Februari, 2019

PERDANA Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, walaupun memenangi pilihan raya kecil Semenyih adalah penting, yang lebih penting ialah memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membuat perubahan yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan.

“Saya harap kita sedar yang ini hanya pilihan raya kecil, apa yang kita perlu ialah majoriti dua pertiga untuk membuat perubahan dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berada di landasan yang betul untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan rakyat tetapi ia mempunyai kelemahannya.

“Masalah akan timbul apabila kita tidak dapat tunai janji. Kita perlu pinda perlembagaan dan kita tidak boleh lakukan tanpa majoriti dua pertiga,” katanya pada satu program di Tesco Semenyih.

Beliau mengambil contoh pengurangan usia layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

“Sekiranya kita mahu lakukan ini kita memerlukan majoriti dua pertiga,” katanya.

Beliau juga berkata, PH perlu majoriti dua pertiga untuk melaksanakan had dua penggal bagi tempoh khidmat perdana menteri.

Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai majoriti dua pertiga ketika kali pertama menjadi perdana menteri, yang mana ia lebih mudah untuk membuat perubahan.

“Inilah sebabnya kita menerima bekas ahli parlimen Umno ke parti kita, kita akan terima mereka agar dapat dua pertiga,” katanya.

Selepas pilihan raya umum 9 Mei, 2018, PKR mempunyai 47 ahli Parlimen, Bersatu 13 dan DAP 42. Bersatu menerima tujuh bekas ahli parlimen Umno awak bulan ini. – 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen