Macam mana pencuri boleh jadi bos, soal Dr Mahathir


Timothy Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sikap tidak kisah para penyokong Najib Razak terhadap kesalahan dilakukannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Februari, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menempelak Najib Razak hari ini dengan berkata bagaimana seorang pencuri boleh menjadi bos.

Dr Mahathir yang dengan sinis merujuk kepada nama gelaran bekas perdana menteri itu di media sosial, “Bossku”, berkata penyokong Najib memilih pencuri untuk menjadi bos mereka.

“Kita ada ‘Bossku’, seorang hero, pencuri. Itulah bos orang itu,” katanya mengenai penyokong Najib.

“Saya tidak faham bagaimana pencuri menjadi bos. Ini bermakna mereka (penyokongnya) mahu menjadi pencuri, sebab itu mereka memilih pencuri,” katanya semasa sesi santai bersama penunggang motosikal di Tesco Semenyih.

Beliau juga bakal naik ke pentas bagi perhimpunan besar pukul 9 malam ini, 48 jam sebelum pilihan raya kecil Semenyih.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata hanya masa yang diperlukan sebelum Najib memakai “baju kuning”, merujuk kepada pakaian penjara.

“Dia belum pakai baju kuning lagi, bukan kami tidak mahu dia memakainya. Kami mahu tetapi dia belum memakainya lagi.

“Dia akan memakainya tidak lama lagi,” kata Dr Mahathir kepada orang ramai.

Beliau berkata bekas pengerusi Felda Isa Samad sudah pun memakai baju kuning ketika ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata pemimpin Barisan Nasional yang dituduh rasuah juga akan memakai “baju kuning”.

“Pada waktunya, mereka semua akan memakai kuning dan bukannya biru,” katanya kepada ratusan hadirin yang ketawa.

Tesco Semenyih juga adalah lokasi pertama Najib bagi kempen PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau mengumpul 500 orang, dengan ramai yang mengelilinginya untuk berswafoto bersama bekas pengerusi BN itu. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen