Orang Melayu mesti jaga pemilikan tanah, kata TPM


SM Amin

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata semua orang Melayu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab secara peribadi dalam menangani isu pemilikan tanah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2019

ORANG Melayu mesti sama-sama bertanggungjawab terhadap pemilikan tanah dan tidak menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menangani isu pemilikan tanah Melayu termasuk tanah rizab Melayu, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, isu pemilikan tanah oleh orang Melayu tidak seharusnya terhad kepada tanah rizab sahaja sebaliknya perlu dilihat dari perspektif yang lebih besar iaitu pemilikan tanah-tanah yang lain.

“Dalam kerajaan memikirkan isu tanah rizab Melayu dan cara-cara mengatasinya, semua orang Melayu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab secara peribadi dalam menangani isu pemilikan tanah secara amnya di negara Malaysia yang kita cintai.

“Kita perlu lihat bukan sahaja daripada perspektif pemilikan orang-orang Melayu ke atas tanah rizab Melayu, tetapi juga ke atas tanah-tanah berstatus bukan rizab Melayu,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Konvensyen Tanah Rizab Melayu 2019 yang diadakan di UiTM hari ini.

Teks ucapan Dr Wan Azizah dibacakan oleh penasihat beliau Mohamad Salmi Mohd Sohod.

Konvensyen tersebut diadakan bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat Melayu mengenai permasalahan, isu dan cabaran yang dihadapi bagi mempertahankan rizab tanah Melayu.

Menurut Dr. Wan Azizah, orang Melayu harus memandang jauh ke depan mewariskan tanah kepada anak cucu, dan bukan hanya hendak untung cepat apabila menjual tanah selepas harganya naik.

“Adakah kita lebih pentingkan pulangan jangka pendek dengan menjual hartanah kita selepas kenaikan harga 20 atau 30 peratus dalam masa beberapa tahun, berbanding dengan menyimpannya demi zuriat kita?

“Adakah kita menggunakan pampasan (jika kerajaan ambil alih tanah) untuk membeli kenderaan besar, melancong keluar negara dan seumpamanya, dan tidak menggunakan pampasan tersebut untuk membeli tanah bagi menggantikan tanah yang telah diambil alih tersebut?” soalnya.

Selain daripada persoalan tersebut kata ahli parlimen Pandan itu, terdapat juga orang Melayu yang gemar menggunakan pembiayaan semula kediaman mereka sehingga menyebabkan mereka gagal menyelesaikan hutang rumah mereka ketika bersara.

Susulan daripada itu, beliau berharap ahli-ahli perbankan dan juga cerdik pendai memainkan peranan yang penting dalam memberi nasihat kepada pelanggan-pelanggan mereka.

“Adalah menjadi peranan cerdik pandai bagi merangka dan memberi pendedahan kepada orang-orang Melayu merancang kewangan peribadi, khususnya dalam hal ini ialah perancangan pelaburan hartanah dalam kalangan orang-orang Melayu,” ujarnya.

Konvensyen sehari itu dianjurkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dengan kerjasama Fakulti Seni Bina, Perancang dan Ukur UiTM. – 28 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen