Papagomo mengaku tak bersalah tuduhan aib dan cederakan Syed Saddiq


Timothy Achariam

Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo hadir ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini, didakwa dua pertuduhan mengaibkan kehormatan dan mencederakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Februari, 2019.

EXCO Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas dua tuduhan mengaibkan kehormatan dan mencederakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap tuduhan yang didakwa dilakukan selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 16 Februari lalu.

Untuk tuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana menuturkan perkataan “bodoh” kepada Syed Saddiq, yang mengikut peruntukan itu dimaksudkan bertujuan mengaibkan kehormatannya.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Papagomo juga dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Syed Saddiq pada tengkuk dan bahu, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau yang diwakili peguam Nik Saiful Adil Burbank, Farhan Maarof and N Logendran dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refingah juga memerintahkan tertuduh melapor diri ke balai polis sekali sebulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah, namun dibantah peguam bela.

Peguam bela berhujah tertuduh hanya berniaga secara kecil-kecilan dan perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja dan lima anak yang masih kecil.

Katanya, tertuduh juga memberi kerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan.

Papagomo sebelum ini ditahan reman tiga hari susulan laporan polis dibuat oleh Syed Saddiq mendakwa beliau dicekik oleh exco Pemuda Umno itu pada pagi selepas penamaan calon PRK Semenyih.

Sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, beliau membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq mendakwa menteri itu membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata insiden antara Papagomo dan Syed Saddiq lebih kepada salah faham dan bukannya serangan.

Mahkamah menetapkan 1 April untuk sebutan semula kes. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen