PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Perak mengakui terdapat kelemahan dari aspek penerangan menyebabkan rakyat tidak merasai pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata ia berbeza dengan keadaan ketika gabungan parti itu masih menjadi pembangkang.
Katanya, pada waktu itu jentera penerangan PH begitu aktif termasuk di medan maya dan ini membantu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir selama lebih 60 tahun.
“Saya kena akui tentera siber kita lemah tidak sekuat masa pilihan raya umum dulu. Ini sedang kita atasi.
“Semasa pilihan raya dulu kita cukup hebat, sekarang kita seperti berada dalam zon selesa,” katanya.
Kelemahan ini membuatkan pengundi melihat kerajaan Perak yang dipimpin Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu tiada bezanya dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Pengundi yang ditemui The Malaysian Insight ini berkata, ini membuatkan mereka tidak dapat melihat program pembangunan yang dilaksanakan dan insentif ditawarkan kerajaan.
“Saya tidak merasakan ada sebarang perubahan dalam pentadbiran di Perak, lebih kurang sama sahaja seperti BN perintah dulu,” kata Muhammad Azmi, 35.
Anak jati Perak berasal dari Bidor itu berkata, pentadbiran hari ini lemah dalam penyampaian maklumat dan rakyat sepertinya perlu tercari-cari maklumat berkaitan pembangunan untuk rakyat.
“Saya hanya ada dengar pasal perumahan sahaja. Lain-lain bantuan atau insentif saya pun tak tahu, apa yang kerajaan buat hanya mereka di bangunan pentadbiran (kerajaan negeri) sahaja yang tahu.
“Maklumat pasal bantuan kalau ada nak cari di mana,” kata kerani syarikat swasta itu.

Beri masa
Azrul Abdullah, 31, dari Meru, Ipoh turut berkongsi pendapat sama dan mencadangkan sistem penyampaian dan penerangan ditambah baik.
“Kita tidak tahu maklumat disalurkan ke mana. Mungkin ada bantuan diberikan tapi kita tak tahu di mana.
“Keadaan masih sama, tidak dengar lagi sebarang perubahan di Perak. Mungkin pentadbiran kerajaan negeri perlu diberikan lebih masa,” katanya.
Namun seorang lagi penduduk, Santhana Devan, 59, berkata peluang harus diberikan kepada Ahmad Faizal selama sepenggal untuk membaiki pentadbirannya.
“Sembilan bulan saya boleh tahan lagi, kalau sudah sembilan tahun masih sama saya akan mula buat bising,” katanya.
Sependapat dengannya, Ah Keong, 45, berkata, kelemahan menyebar maklumat itu mungkin disebabkan kerajaan PH yang masih baru mentadbir.
Namun beliau dapat melihat pentadbiran Azumu berkesan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan susah.
“Ada rumah rakyat yang kerajaan buat. Itu kita sedar. Ini kerajaan baru sembilan bulan, kita rakyat kena sabarlah sikit, kita pun faham, ini hari perintah terus mahu hasil, mustahil,” kata pemilik bengkel kereta itu.
Program perumahan itu adalah rancangan membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun yang merupakan antara pengumuman utama dibuat Azumu.
Gerak kerja hanya lepas lulus bajet
Menurut Bendahari Bersatu Perak Amran Alang Ahmad berkata, rakyat menyedari program berkenaan hasil penerangan kerajaan.
“Kita tak perlu keluar duit, jadi tidak perlukan bajet, sebab pihak swasta yang akan bangunkan, kita berikan tanah sahaja.
“Sebab itu rakyat maklum akan program berkenaan kerana kita bersungguh-sungguh berikan penjelasan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, program pembangunan negeri masih kurang kerana gerak kerja hanya boleh dilaksanakan selepas pembentangan bajet negeri pada Disember lalu.
“Sebelum bentang bajet kita hanya boleh urus tadbir, lepas bentang bajet baru kita boleh belanja.
“Sebelum ini kita hanya boleh rangka perancangan, jadi kita hanya betul-betul boleh uruskan negeri dengan peruntukan yang ada awal Januari lalu lepas pembentangan bajet negeri,” katanya.
Beliau ketika ditemui di Kampar juga berkata, unit penerangan PH katanya kini berada dalam pendekatan berbeza dan tidak lagi menyerang seperti ketika menjadi pembangkang.
“Dalam konteks keseluruhan sekarang kita dalam keadaan bertahan. Kita hanya diserang sahaja.
“Memang pedih, tapi mungkin perlu ada tindakan menyeluruh dilakukan untuk mengatasinya,” katanya.
Ketua Penerangan PKR Perak Raja Azam Shah Raja Omar Ikram juga berpendapat, kelemahan penerangan PH kini kerana jenteranya dalam keadaan selesa selepas menjadi kerajaan.
Kelompongan maklumat dari jentera kerajaan PH itu pula ini diisi oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini cuba meraih populariti, katanya.
Beliau menyedari perkara itu memberi ancaman kepada PH yang perlu menjawab isu dibangkitkan Najib.
“Najib sekarang gunakan instrumen yang kita lupakan seketika ini, kelompongan PH ini diisi oleh Najib Razak. Kali ini Najib ada satu faktor.
“Dia pandai dalam hal ini, untuk tarik perhatian orang dengar apa dia cakap. Mesej dia mesej kelakar tak beri sumbangan pada pembangunan negara tapi bila orang mula dengar apa dia kata bahaya juga.
“Mungkin di pihak PH kita perlu sedar dan gerakkan rakan-rakan pro-PH menjawab segala persoalannya,” kata ketua cabang PKR Taiping itu lagi. – 28 Februari, 2019.
Komen