Pengendali Airbnb perlu berdaftar untuk kebaikan tetamu, kata kementerian


Asila Jalil

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata ini untuk kebaikan tetamu mereka, iaitu pelancong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2019.

PENGENDALI Airbnb digesa supaya mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk kebaikan tetamu mereka, iaitu pelancong.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Isham Ishak, berkata ini supaya pihak berkuasa tahu siapakah pengendali Airbnb.

“Kita akan adakan dialog dengan mereka (pengendali) dan tengok macam mana kita boleh bantu mereka. Apa yang paling penting bagi kerajaan ialah kebajikan tetamu.

“Kita hendak pastikan pelancong yag datang ke Malaysia dijaga dengan baiak,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kementerian katanya sedang cuba untuk lebih memahami pengendali untuk membantu mereka dalam menambah jumlah ketibaan pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi pada minggu lepas berkata pengendali hotel tanpa lesen termasuk pengendali Airbnb perlu mendaftar dengan kementerian itu bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Beliau berkata pihak berkuasa kini sedang giat mengesan pengendali tidak berlesen. – 27 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen