Hasil pelancongan Malaysia cecah RM84.1 bilion


Asila Jalil

Ia melalui ketibaan 25.8 juta pelancong asing tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2019.

SEKTOR pelancongan menyumbang RM84.1 bilion kepada ekonomi negara melalui ketibaan 25.8 juta pelancong asing tahun lepas.

Bagaimanapun, jumlah ketibaan pelancong jatuh 0.4% berbanding 25.9 juta yang dicatatkan pada 2017.

“Walaupun jatuh sedikit, perbelanjaan pelancong menyaksikan kenaikan 2.4% daripada RM82.3 bilion pada tahun lepas.

“Penyumbang terbesar bagi perbelanjaan pelancong adalah dari rantau Asean pada RM48.5 bilion, walaupun turun 12.8% berbanding 2017 yang mencatat RM55.6 bilion,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi pada sidang media mengenai prestasi industri pelancongan di Putrajaya hari ini.

“Ketibaan dari Asean terus menguasai bahagian ketibaan pelancong ke Malaysia yang menyumbang 70.1%.”

Mohamaddin berkata aktiviti membeli-belah menduduki tempat teratas dalam senarai perbelanjaan  pelancong iaitu pada 33.4%. Ini diikuti penginapan (25.7%), serta makanan dan minuman (13.4%).  

Industri kraftangan tempatan juga merupakan barangan popular di kalangan pelancong, katanya.

Pelancong dari Singapura mendahului senarai ketibaan pelancong pada tahun lepas iaitu 10.6 juta, diikuti Indonesia (3.2 juta) dan China (2.9 juta). – 27 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen