Polis ambil kenyataan Hamid mengenai dakwaan salah laku kehakiman


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS sudah merakam keterangan daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer di kamarnya hari ini susulan dari satu laporan polis dibuat Pejabat Ketua Pendaftar pada 15 Februari lalu.

Peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdullah ketika dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan perkara berkenaan.

Menurut Haniff, dua pegawai polis dari Bukit Aman menemui Hamid di kamarnya hari ini kira-kira sejam bermula jam 9 pagi.

Bagaimanapun, The Malaysian Insight difahamkan Hamid enggan memberi maklumat kepada polis sebaliknya bertegas hanya akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang akan ditubuhkan.

“Hamid sedia mendedahkan semua perkara dalam afidavitnya kepada RCI,” katanya.

Ketika proses mengambil keterangan, beliau bersama seorang lagi peguam Joy Wilson Appukuttan turut hadir dalam sesi berkenaan.

Menurutnya, berikutan banyak pihak termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan skop siasatan yang sama, Peguam Negara, Tommy Thomas kini patut menasihatkan kedua-dua agensi menggantung siasatan mereka memandangkan RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat afidavit itu.

Beliau berkata, polis sedang mengambil tindakan terhadap laporan dibuat Pejabat Ketua Pendaftar kerana banyak kandunga” dalam afidavit itu mencemarkan imej badan kehakiman.

Pada 18 Februari lalu Hamid memberitahu sepasukan pegawai SPRM yang menemuinya di kamar, beliau sedia memberitahu semuanya hanya dalam prosiding RCI.

Pada Khamis lalu Putrajaya mengumumkan kerajaan akan membentuk RCI untuk menyiasat tuduhan Hamid.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ia menyiasat dakwaan salah laku kehakiman tetapi tidak menyatakan sejauh mana siasatan itu akan dibuat.

Dalam afidavit tersebut Hamid mendakwa beberapa pegawai tertinggi kehakiman menolong pihak swasta menipu kerajaan.

Beliau juga mendakwa ada hakim terkemuka lain yang memihak kepada bekas kerajaan.

Afidavit yang dilihat The Malaysian Insight itu menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman.

Ia berdasarkan dua kes yang didakwa mendapat campur tangan kehakiman. – 27 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen