PERKAMPUNGAN Orang Asli di Kampung Kachau Dalam di sini hanya terletak 15 kilometer (KM) dari pekan Semenyih tetapi perjalanannya memakan masa agak lama berikutan satu-satunya akses laluan keluar masuk ke kampung itu merupakan jalan tidak berturap.
Tanpa jalan sempurna, ia masalah besar kepada penduduk kampung terutama dalam hal mendapatkan khidmat perubatan.
Selain itu timbul juga kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung yang sudah mendiami kawasan itu hampir 84 tahun berkenaan status tanah petempatan mereka yang mungkin diambil alih kerana ia tidak pernah diwartakan sebagai tanah adat Orang Asli.
Dua masalah utama ini sejak sekian lama masih tiada penyelesaian untuk ditangani.
Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Orang Asli Kachau Dalam Matzee Duman berkata kampung Orang Asli itu sudah wujud sejak 1935 namun masih banyak kesukaran yang terpaksa dilalui penduduknya.
“Kami harap pihak berwajib boleh ambil tindakan ke atas perkara ini terutama sekali laluan masuk itu yang perlu diturap.
“Keadaan itu menyukarkan kami kerana jika laluan itu dilanda banjir ketika hujan kami tidak boleh keluar bahkan menyukarkan kami mendapatkan kemudahan perubatan jika ada penduduk yang sakit,” katanya.
Katanya satu lagi perkara berbangkit adalah mengenai status tanah perkampungan itu yang sehingga kini masih tidak terjawab.
“Kami pernah ajukan perkara ini namun tiada jawapan muktamad sama ada (tanah) kampung ini akan diwartakan (sebagai tanah adat).
“Kami menetap di sini sudag lama dan memohon perkara itu disegerakan sejak 2005. Kami risau dan difahamkan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ingin mengambil tanah itu,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah Sarimah Ikat, 22, pula mengharapkan kualiti perkhidmatan kesihatan dapat ditambah baik.
Menurutnya, antara perkhidmatan kesihatan yang ada adalah Klinik Kesihatan Semenyih di kampung itu namun ia mengambil masa lama buat penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“Susah sebab kadang mereka suruh datang kek klinik tetapi jauh 7 kilometer sukarkan kami.
“Jadual pemeriksaan juga tidak menentu. Kalau anak sakit kena tunggu,” katanya.
Difahamkan Kampung Kachau Dalam antara 10 kampung Orang Asli dalam DUN Semenyih mempunyai hampir 200 penduduk daripada 42 keluarga.
DUN Semenyih merupakan satu dari kawasan DUN dalam Parlimen Hulu Langat selain Dusun Tua.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus berkata masalah membabitkan Orang Asli sentiasa mendapat perhatian pihaknya.
Katanya dalam isu tanah kampung Orang Asli itu, ia timbul apabila kerajaan negeri terdahulu sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada 2008 menganugerahkan tanah berkenaan kepada Pertubuhan Peladang Negeri Selangor.
“Saya selaku ahli parlimen di kawasan ini sedang mencari formula penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu ini.
“Saya percaya dengan kerjasama erat daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pejabat tanah, satu formula dapat dicari,” katanya. – 27 Februari, 2019.
Komen