SATU badan bukan kerajaan (NGO) sukarela percaya bekas suami M Indira Gandhi melarikan anak pasangan itu ke selatan Thailand, berdasarkan beberapa petunjuk baharu yang dikongsi orang awam.
Jurucakap Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) berkata, mereka menerima gambar daripada orang ramai yang Riduan, atau nama asalnya K Patmanathan berada di wilayah itu.
Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata, maklumat itu hasil daripada sidang medianya minggu lalu yang mengumumkan tawaran ganjaran RM10,000 untuk menjejaki Riduan.
“Kami menerima banyak panggilan, mesej pesanan ringkas dan WhatsApp daripada orang ramai terutamanya golongan ibu yang berniat untuk menolong Indira.
“Namun, setiap maklumat itu ditapis oleh petugas penyiasatan sukarelawan yang ditubuhkan lapan bulan lalu.
“Daripada semua maklumat itu, dua gambar yang dikirim melalui WhatsApp relevan kepada kedudukan terkini Riduan iaitu di selatan Thailand,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sekiranya maklumat itu sahih, ia akan dapat membantu menyatukan semula Indira dengan anaknya Prasana Diksa yang dilarikan oleh Pathmanathan kira-kira 10 tahun lalu.
Bekas suaminya itu juga menukar agama Prasana dan kesemua anak mereka kepada Islam pada 2009. Prasana ketika itu hanya berumur 11 bulan.
Anak mereka yang lain masih tinggal bersama Indira dan dibesarkan mengikut agama Hindu.
Menurut Arun, tiada maklumat yang diperoleh berhubung Prasana berikutan tiada siapa kenal atau tahu rupa paras terkini kanak-kanak itu melainkan beliau ditemui bersama Riduan.
Mahkamah Tinggi pada 2014 mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan.
Ini disusuli dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 yang membatalkan penukaran ketiga-tiga anak-anak Indira kepada Islam.
Mahkamah juga memutuskan kebenaran diperlukan daripada kedua-dua ibu dan bapa sebelum agama seseorang anak itu boleh diubah.
Namun sehingga kini, pencarian ibu tersebut masih tidak berkesudahan.
Mengulas lanjut, Arun berkata Ingat bersedia untuk bekerjasama dengan polis namun berpendapat pasukan itu seolah-olah tidak berminat dengan kes ini.
Ini memandangkan, pasukan polis begitu sukar mengesan Riduan berbanding usaha mengesan penjenayah lain.
“Kenapa lelaki ini yang didapati keluar masuk negara melalui sempadan di utara tanah air tidak boleh ditahan sejak 10 tahun lalu?” soalnya.
Mereka turut mendapati nombor MyKid asal Prasana tidak dijumpai di mana-mana pasport dan percaya kanak-kanak itu masih berada di dalam negara.
Indira berkata, semakan dengan Kementerian Pendidikan mendapati Prasana tidak didaftarkan dengan mana-mana sekolah dengan nomnbor MyKid asalnya.
Pasport Riduan juga telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui.
Oleh itu, mereka mengesyaki ada cubaan menukar nombor MyKid Prasana dengan sengaja untuk membolehkan kanak-kanak itu didaftarkan ke sekolah.
Indira mengadukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada minggu lalu dan meminta bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi disiasat bagi kes berkenaan.
Dalam laporannya kepada SPRM, Indira mendakwa kementerian menyalahi undang-undang dengan menukar nombor MyKid Prasana bagi mengelakkan kanak-kanak itu dikesan.
Polis juga pada 17 Januari lalu memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan Riduan. – 27 Februari, 2019.
Komen