Bom hidrogen Pyongyang lapan kali ganda lebih kuasa


Ujian nuklear terbaru Korea Utara dikatakan lebih berkuasa dengan kekuatan lapan kali ganda saiz bom yang diletupkan di Hiroshima pada 1945. – Gambar fail AFP, 6 September, 2017.

MENTERI Pertahanan Jepun Itsunori Onodera berkata ujian nuklear terbaru Korea Utara lebih berkuasa berbanding tanggapan awal, dengan kekuatan lapan kali ganda saiz bom yang diletupkan di Hiroshima.

Ahad lalu, Korea Utara mencetuskan kebimbangan global apabila ia menguji apa yang dikatakan sebagai bom hidrogen untuk peluru berpandu jarak jauh.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Jepun berkata bom itu memiliki kekuatan 70 kiloton berdasarkan magnitud anggaran suruhanjaya persediaan Pertubuhan Perjanjian Komprehensif Larangan Ujian Nuklear (CTBTO).

Bagaimanapun, Onodera memberitahu media semalam kementeriannya menaik taraf anggaran itu kepada sekitar 120 kiloton berdasarkan semakan CTBTO.

“Kita dapat tentukan ujian nuklear yang dijalankan mempunyai keupayaan agak tinggi,” kata Onodera.

Pada 120 kiloton, letupan itu lapan kali ganda lebih berkuasa berbanding kekuatan 15 kiloton bom digugurkan Amerika Syarikat (AS) yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.

Anggaran itu juga melebihi kekuatan antara 50 dan 100 kiloton dibuat ketua hal ehwal politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Jeffrey Feltman dalam Majlis Keselamatan PBB.

Terdahulu, Perdana Menteri Shinzo Abe menggesa masyarakat antarabangsa membentuk pakatan menentang provokasi Pyongyang.

“Sama ada kita dapat mengekang tindakan melampau Korea Utara atau bergantung kepada penyatuan di kalangan anggota masyarakat antarabangsa,” kata Abe ketika bertemu Menteri Pertahanan India Arun Jaitley di Tokyo.

Duta AS ke PBB Nikki Haley memaklumkan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB, Washington akan membentangkan resolusi sekatan baharu untuk dirunding beberapa hari lagi, dengan matlamat mengundi Isnin depan. – AFP, 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen