Tandatangan, arahan Mat Sabu dipalsukan untuk kontrak, kata pegawai


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pegawai kepada menteri pertahanan, Rafizal Ali bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Wangsa Maju, hari ini berhubung pemalsuan tandatangan menteri bagi permohonan perolehan kontrak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Februari, 2019.

TANDATANGAN Menteri Pertahanan Mohamad Sabu didapati dipalsukan bagi permohonan dua perolehan kontrak kementerian tersebut yang bernilai jutaan ringgit.

Seorang pegawai Mohamad, Rafizal Ali berkata satu daripada surat tersebut melibatkan permohonan kontrak pembekalan perabot bernilai RM3 juta.

Pegawai tugas khas itu berkata dalam surat bertarikh 9 Disember, 2018 sebuah syarikat berpangkalan di Kelantan memohon sokongan khas daripada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Katanya, ia diterakan tandatangan dan cap nama menteri berserta nota arahan didakwa daripada menteri untuk menyelesaikan permohonan bagi pembekalan perabot di Kelantan dan Perak.

Rafizal berkata bagaimanapun Mohamad tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan kepada syarikat berkenaan mahu pun sebarang penawaran bagi perkhidmatan untuk kementerian.

“Tanda tangan, cop rasmi serta nota arahan seperti tertera pada surat adalah bukan daripada menteri atau pejabat menteri,” katanya.

Kes sama dikesan dalam surat kedua bertarikh 17 Januari, 2019 yang didakwa dihantar dari Bahagian Perbendaharaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam, Bahagian Tentera Laut.

Surat itu didakwa menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas angkatan tentera kepada sebuah syarikat berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.

“Turut disertakan bersama surat terbabit sijil pelantikan syarikat itu sebagai pembekal untuk tempoh kontrak selama lima tahun bermula Februari 2019 hingga Februari 2024,” katanya.

Bagaimanapun katanya, hasil maklumat dalaman daripada pihak berkaitan mendedahkan kedua-dua surat berkenaan adalah palsu malah projek berkenaan juga tidak wujud.

Rafizal bagaimanapun menyangkal pembabitan orang dalam kementerian berhubung kes itu dan ia dipercayai dilakukan orang tengah kepada kedua-kedua syarikat terbabit.

Sehubungan itu beliau membuat laporan hari ini di Balai Polis Wangsa Maju supaya pihak yang bertanggungjawab melakukan pemalsuan itu dapat disiasat dan dikenakan tindakan.

“Ia juga bagi mengelak sebarang kesan dan akibat yang tidak baik daripada pemalsuan dan penyalahgunaan nama menteri, pejabat menteri dan kementerian seperti kedua-dua surat palsu terbabit,” kata Rafizal.

Kabinet pada Jun tahun lalu memutuskan semua menteri dan timbalan menteri dilarang mengeluarkan surat sokongan terhadap mana-mana tender atau kertas cadangan.

Ia dilaporkan bertujuan memastikan tadbir urus yang baik dan mengelakkan berlakunya kepincangan dalam keputusan kerajaan.

Bagaimanapun, ia terkecuali bagi urusan terdesak seperti hal kecemasan dan kesihatan. – 26 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen