RATUSAN aktivis Indonesia mengadakan protes membantah kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di Surabaya yang merupakan bandar kedua terbesar di negara itu selepas Jakarta, hari ini.
Pasukan polis anti rusuhan ditempatkan di hadapan kedutaan serta sekatan menggunakan kawat duri turut diletakkan di sekeliling kawasan kedutaan negara itu.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Aung San Suu Kyi dan ketua tentera negara itu Jeneral Min Aung Hlaing di Naypyidaw pada Isnin untuk memberi tekanan kepada kerajaan terbabit bagi menyelesaikan konflik di Rakhine.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo kepada wartawan hari ini dan menggesa agar kekejaman itu dihentikan serta merta.
“Sekali lagi, kekejaman dan krisis kemanusiaan ini harus dihentikan dengan serta merta,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan misi Retno.
Beberapa jam sebelum Jokowi berucap, bom petrol dilemparkan ke arah kedutaan Myanmar di Jakarta, manakala pihak polis juga berjaya mematahkan dua lagi percubaan untuk meletupkan premis itu oleh kumpulan militan.
Kini polis memperketatkan kawalan keselamatan di kedutaan Myanmar bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Semalam protes bantahan yang sama turut diadakan di kedutaan Myanmar di Jakarta. – AFP, 5 September, 2017.
Komen