Hanya pemabuk dan gay dapat manfaat jalan bebas tol, kata Najib


Christopher Rabin

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata langkah PH memberikan tol percuma dari 11 malam hingga 5 pagi tidak memberi faedah kepada kebanyakan rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2019.

NAJIB Razak berkata rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan bayaran tol percuma bagi empat lebuh raya dari jam 11 malam hingga 5 pagi hanya memberi faedah kepada “pemabuk dan LGBT”.

Bekas perdana menteri itu berkata langkah itu tidak memberi faedah kepada kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak keluar rumah pada waktu tengah malam.

“Hanya hantu, orang mabuk dan LGBT cari pelanggan yang tidak tidur,” katanya merujuk kepada masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender.

“Kita tidur 11 malam, dan kalau keluar solat Subuh pun, lepas pukul 5 pagi. Jadi siapa yang dapat faedah daripada tempoh bebas tol itu?,” katanya di depan kira-kira 200 orang yang datang melihatnya berceramah di Semenyih, malam tadi.

Putrajaya minggu lalu mengumumkan sedang berunding dengan Gamuda Bhd berhubung pengambilalihan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan terowong Smart.

Kerajaan akan memansuhkan mekanisme tol, menggantikannya dengan caj kesesakan yang akan berbeza antara waktu puncak dan tidak.

Pengguna jalan raya akan mendapat diskaun sehingga 30% daripada kadar tol semasa, dan lebuh raya akan bebas tol dari 11 malam hingga 5 pagi.

Najib berkata ketika beliau menjadi perdana menteri, beliau memansuhkan tol di empat lebuh raya, dan mendesak Pakatan Harapan memenuhi janji pilihan rayanya dan jangan menipu rakyat.

Beliau juga menyelar Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Pejabat Perdana Menteri berhubung rancangan pengambilalihan itu.

“Pertama, PMO kata pengumuman itu cadangan rasmi, dan kemudian Azmin kata ia hanya cadangan dan belum muktamad.

“Bagaimana mereka boleh keluarkan kenyataan bercanggah? Pelik. Macam mereka tidak berbincang sesama mereka.

“Masa saya jadi PM, saya tidak buat keputusan tanpa merujuk menteri atau pegawai berkenaan. Pentadbiran jenis apa ini?” – 26 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen