PEMBANGKANG mampu merampas kerajaan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika berjaya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih 2 Mac depan, kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata berdasarkan keputusan di PRK Cameron Highlands sebelum ini, perpaduan yang ditonjolkan oleh parti-parti pembangkang berjaya memberi kemenangan kepada mereka dengan majoriti lebih besar.
“Rayuan saya ialah supaya kita berubah dalam pilihan raya ini, begitu juga di Cameron Highlands tempoh hari, kita kena bersatu. Kalau orang lain tidak mahu bersatu, biarlah pakatan kita bersatu.
“Kita bersatu dan kita tengok, supaya kita boleh bawa perubahan di Semenyih. Saya percaya kalau berlaku perubahan di sini, Selangor pun barangkali senang kita petik (rampas) dalam PRU akan datang.
“Ia akan mendorong rakyat ramai supaya mengubah keadaan di Malaysia,” katanya ketika berceramah dalam kempen PRK DUN Semenyih di Bandar Seri Putra malam tadi.
Sejak 2008, Barisan Nasional (BN) tidak pernah menang dalam semua PRK peringkat DUN di Selangor iaitu di Kajang (2014), Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia yang diadakan pada tahun lalu.
Bagaimanapun, BN mempunyai rekod baik di peringkat Parlimen selepas menang di PRK Hulu Selangor (2010) dan di PRK Sungai Besar pada 2016.
Tengku Razaleigh berkata kerajaan yang ada pada hari ini tidak stabil disebabkan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempunyai agenda mereka tersendiri dan boleh menyebabkan negara terjerumus dalam keadaan huru-hara.
“Bukan saya hendak sindir tetapi ramai orang berdoa supaya dia ini sihat sekarang kerana kalau berlaku apa-apa kepada Dr Mahathir di saat ini, huru-hara negara ini.
“Dengan keadaan dalam PKR dan dihadapi PH, bayangkan apa yang akan berlaku. DAP menguasai segala kementerian penting,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata pimpinan PH sehingga kini masih bertelingkah sesama mereka tanpa ada usaha untuk menunaikan janji pilihan raya dan menyelesaikan masalah rakyat.
Turut hadir pada program ceramah itu ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad. – 26 Februari, 2019.
Komen