Alangkah bahayanya permainan Nazri Aziz


The Malaysian Insight

Nazri Aziz dan kawan-kawannya dalam Umno percaya bahawa mereka perlu membakar api kebencian antara Melayu dan bukan Melayu, dan menabur benih perbalahan antara Muslim dan bukan Muslim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Februari, 2019.

NAZRI Aziz dan kawan-kawannya dalam Umno percaya mereka sudah jumpa satu formula untuk melonjakkan semula diri ke persada kuasa politik – dan rakyat Malaysia sewajarnya bimbang.

Mereka percaya bahawa mereka perlu membakar api kebencian antara Melayu dan bukan Melayu, dan menabur benih perbalahan antara Muslim dan bukan Muslim.

Mereka tidak peduli kalau negara yang makmur ini porak peranda dan kita saling bersengketa.

Mereka hanya mahu orang Melayu rasa tertawan, takutkan bayang-bayang momok yang kononnya mahu menghapuskan segala hak yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Nazri dan konco-konconya dalam Umno percaya bahawa hanya dengan memainkan isu kaum dan agama mereka ada peluang untuk hidup semula selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sabtu lalu, semasa berkempen untuk calon Umno dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih, Nazri menuduh kerajaan Pakatan Harapan lemah dan tidak berdaya mempertahankan hak Melayu.

Beliau menyebut pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan sebagai contoh bagaimana hak Melayu sedang dihakis di bawah kerajaan baru sekarang.

Beliau mengaitkan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dengan isu perkauman, dan bertanya kenapa empat lelaki yang ditahan berhubung kejadian dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya itu dibebaskan.

Adakah kerana warna kulit mereka sama dengan peguam negara, tanya Nazri.

Hari ini, bekas menteri Umno itu disoal siasat polis bersabit ucapannya yang mengapi-apikan itu. Seperti selalu, beliau cuba menyalahkan orang lain apabila berkata beliau hanya menyuarakan pandangan akar umbi Melayu.

Seolah-olahnya, mengulang pembohongan yang dimulakan oleh orang lain akan menjadikannya betul.

Masalahnya begini: Kenyataan Nazri yang berbaur perkauman dibuat beberapa hari selepas inkues bagi menentukan kematian Adib bermula. Perjalanan inkues itu dilaporkan dengan meluaskan oleh media. Bukti-bukti yang dikemukakan setakat ini belum dapat merumuskan dengan muktamad sebab-sebab kematian Adib. Ada yang percaya beliau dipukul oleh perusuh; ada juga yang percaya beliau tidak sengaja dilanggar oleh jentera bomba.

Nazri seorang peguam. Beliau tahu dalam kes kematian yang jadi perhatian umum dan ada beberapa versi maklumat tentang kejadian, jalan yang terbaik bagi semua pihak ialah dengan mengadakan inkues.

Pada prosiding inkues ini, peguam pemerhati bagi pihak keluarga Adib boleh menyoal siasat balas saksi. Bagaimana kerajaan mengendalikan inkues ini juga boleh diteliti. Dengan liputan media yang meluas, tidak ada ruang bagaimana kes ini boleh diselindungkan.

Nazri tahu hakikat ini.

Tetapi beliau dan kawan-kawannya dalam Umno tidak berminat akan fakta atau kisah yang sebenarnya.

Mereka mahu meraih undi Melayu di Semenyih. Mereka percaya cara paling berkesan untuk meraih undi ialah dengan memburuk-burukkan orang Cina, India dan bumiputera bukan Muslim dari Malaysia Timur.

Semua ini adalah naratif palsu yang direka tentang Malaysia selepas pilihan raya 9 Mei; naratif yang diulang berkali-kali sebanyak mungkin dan berharap ia meninggalkan kesan dalam kalangan masyarakat Melayu. 

Nazri mahu orang Melayu percaya kononnya mereka tidak akan dapat layanan saksama dan keadilan daripada orang bukan Melayu. Aduhai, datang dari mulut seorang ahli politik yang partinya dikaitkan dengan rompak dan curi.

Soalan mustahak kepada kerajaan Dr Mahathir: Adakah kerajaan mahu membiarkan ahli poliitk Umno mencampakkan negara ke kancah bencana, atau adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menghasut persengketaan kaum? – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen