Adib meninggal dunia akibat kegagalan teruk paru-paru, kata doktor pakar


Timothy Achariam

Pakar bedah kardiotorasik IJN Dr Mohamad Ezani Taib memberitahu mahkamah semua punca kematian Adib dinyatakan secara terperinci dalam laporan yang dikeluarkan oleh doktor yang merawatnya di IJN dari 28 November sehingga beliau meninggal dunia pada 17 Disember, tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2019.

MAHKAMAH Koroner hari ini diberitahu yang Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat kegagalan paru-paru yang teruk.

Pakar bedah kardiotorasik IJN Dr Mohamad Ezani Taib memberitahu mahkamah semua punca kematian anggota bomba itu dinyatakan secara terperinci dalam laporan yang dikeluarkan oleh doktor yang merawat Adib di IJN dari 28 November sehingga ke hari beliau meninggal dunia pada 17 Disember, tahun lalu.

“Punca kematian secara klinikal adalah sindrom kesukaran pernafasan orang dewasa atau dalam kata lain kegagalan paru-paru yang teruk,” kata Ezani.

Beliau berkata Adib, 24 mengalami trauma di bahagian dada akibat hentakan “objek tumpul”.

“Objek keras itu spekulatif.”

Adib beberapa kali tidak sedarkan diri ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di IJN, tambah beliau.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Faten Hadni mengenai tahap kesedaran Adib semasa itu, Ezani berkata ia sukar untuk ditentukan kerana keadaannya sentiasa berubah-ubah akibat jumlah sedatif yang diberi.

“Hampir mustahil untuk katakan pada hari apakah dia sedar dan tidak. Ada ketika dia boleh berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat dan ada ketikanya dia tidak memberikan tindak balas,” beliau memberitahu Koroner Rofiah Mansor di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Ezani berkata tidak boleh bercakap kerana mulut dan tekaknya dimasukkan tiub untuk membantunya bernafas.

“Apabila kesan ubat dan sedatifnya semakin berkurang, dia memberikan respons. Kami juga memberinya papan putih supaya dia boleh menulis untuk menjawab soalan kami,” katanya.

Apabila ditanya sama ada Adib faham soalan yang ditanya kepadanya, Ezani berkata itu juga sukar untuk dikatakan.

“Ada ketika apabila ditanyakan soalan, dia berikan respons, tetapi ada ketikanya dia tidak sedar.”

Dr Suneta Sulaiman berkata berkata Adib diberi bantuan mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (VV-ECMO) untuk menggantikan fungsi jantung dan paru-parunya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2019.

Saksi kedua yang memberi keterangan hari ini, pakar bius IJN, Dr Suneta Sulaiman juga mengesahkan keterangan awal Ezani kepada mahkamah melalui laporan perubatannya.

Beliau juga berkata Adib diberi bantuan mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (VV-ECMO) untuk menggantikan fungsi jantung dan paru-parunya.

“Kami sedar dia perlu diberi bantuan Ecmo kerana dia sukar untuk mengekalkan tahap oksigen dalam darah,” katanya.

Menurut Suneta, jantung Adib pulih pada hari keempat di ICU, iaitu pada 4 Disember, 2018, dan sebagai pakar ECMO, Suneta mengadakan perbincangan dengan pasukannya serta memutuskan Adib diberi sokongan mesin Ecmo berlainan untuk paru-parunya.

“Sekali imbas, keadaannya bertambah baik, tetapi masih kritikal.

“Keadaan buah pinggangnya lemah dan perlu diberi bantuan dialisis. Pada masa yang sama dia dalam keadaan sedar dan memberi tindak balas apabila dipanggil dan diberi arahan,” katanya.

Suneta juga berkata Adib memberi tindak balas terhadap persekitarannya.

Beliau memberitahu mahkamah, selepas hari keenam, Adib boleh menunjukkan bahu dan mengangkat tangan.

“Dia tunjukkan bahu kanannya untuk beritahu sakit di bahagian tersebut, jadi kami pasangkan anduh,” katanya.

Ezani dan Suneta adalah saksi ke-14 dan ke-15 bagi inkues menyiasat punca kematian Adib.

Suneta akan menyambung keterangan esok. – 25 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen