Nazri setuju Pemuda Umno, PAS berhimpun isu hina Nabi Muhammad


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung BN, Mohamed Nazri Aziz meminta penganjur perhimpunan melakukannya berlandaskan undang-undang dengan memohon permit perhimpunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Februari, 2019.

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Mohamed Nazri Aziz setuju dengan cadangan sayap pemuda pembangkang mahu menganjurkan rapat umum sekiranya pihak berkuasa tidak menangani isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad dengan serius.

Bekas menteri berkaitan hal ehwal undang-undang itu bagaimanapun meminta penganjur perhimpunan melakukannya berlandaskan undang-undang dengan memohon permit perhimpunan.

“Saya setuju berhimpun tapi minta permitlah. Undang-undang kena ikut, saya sokong,” kata Nazri, pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS Khalil Abduk Hadi yang menggesa Peguam Negara Tommy Thomas mengambil tindakan segera terhadap individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Kedua-dua sayap pemuda pembangkang itu sepakat mendesak peguam negara mendakwa individu yang dibebaskan atas jaminan polis selepas ditahan kerana memuat naik status Facebook menghina Nabi Muhammad.

“Perbuatannya (suspek) bukan sahaja mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Malah perbuatan tersebut jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori hingga lima tahun.

“Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Muhammad adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja,” kata kenyataan tersebut.

Pada 20 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun direman tiga hari selepas didakwa memuat naik status menghina Nabi Muhammad di akaun Facebooknya. Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas turut berkata, beliau juga ingin tahu keputusan pihak polis dengan lebih lanjut.

“Saya tidak tahulah polis dari segi teknikal ke (lepaskan suspek), saya tidak tahu. Mereka mesti ada sebab kenapa lepaskan (suspek) tapi ia mencetuskan rasa tak selesa di kalangan orang ramai, saya sendiri nak tahu sebabnya,” kata Nazri lagi.

Tindakan polis membebaskan suspek turut mencetuskan bantahan daripada pelbagai badan yang mewakili Melayu dan Islam di beberapa negeri, termasuk yang berhimpun menyatakan protes di Ipoh, Perak dan Pulau Pinang, semalam.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya memandang serius sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

Mengenai kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad, Muhyiddin berkata polis sudah mengenal pasti dan menyiasat suspek.

“Saya percaya timbalan pendakwa raya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan suspek tersebut di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya. – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen