Pengasas Skuad Badar, 6 ahli didakwa di mahkamah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Skuad Badar yang diasaskan Azhar Mohamad (tengah) mendakwa operasi mereka mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman yang mereka buat setiap kali sebelum operasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2019.

PENGASAS dan ketua Skuad Badar, Azhar Mohamad dan enam ahlinya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas tuduhan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Semua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Arif Mohammad Sharif.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Azhar, 46, didakwa bersama enam ahli Skuad Badar iaitu Muhammad Faris Na’im Ahmad Faizal, 21; Shahidan Zakaria, 48; Muhaamad Hasmadi Othman, 40; Johari Awang, 51; Shahrul Nizam Shahrin, 35 dan Muhamad Farid Nazmi Ahmad Faizal, 25.

Mereka didakwa menjadi anggota Skuad Badar iaitu sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar, di pejabat Skuad Badar di Bandar Seri Astana, Sungai Petani antara 26 September 2017 sehingga 13 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Nordiyanasari Omar.

Semua mereka diwakili peguam Mohd Amirul Ramli dan Muhammad Arif Shaharuddin.

Mahkamah membenarkan keenam-enam tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,000 masing-masing dengan seorang penjamin sementara menunggu kes disebut semula pada 11 Mac ini.

Pada 19 Januari lalu, Azhar bersama sembilan pengikutnya dibebaskan dari tahanan dengan jaminan polis selepas direman antara dua hingga enam hari bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

The Malaysian Insight difahamkan polis bertindak menahan Azhar berdasarkan satu laporan yang dibuat seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Sungai Petani, pada 10 Januari.

Polis juga memberitahu The Malaysian Insight, Azhar ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan komunikasi dalaman polis di Facebook.

Skuad Badar menjalankan kegiatan cegah maksiat secara sukarela di sekitar Sungai Petani, Kedah, sejak dua tahun lalu.

Mereka mendakwa operasi itu dijalankan bagi membantu pihak berkuasa agama negeri yang dikatakan tidak cekap dan tidak cukup kakitangan.

Pihak berkuasa agama Kedah sebaliknya menegaskan Skuad Badar tidak pernah diberi kuasa untuk menjalankan operasi cegah maksiat selain melakukan operasi tidak mengikut prosedur.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan operasi cegah maksiat Skuad Badar mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat dan pemimpin masyarakat.

Sesetengah penduduk mengakui operasi Skuad Badar itu dibuat dengan tujuan baik tetapi tidak harus mengetepikan undang-undang.

Skuad Badar mendakwa operasi mereka kononnya mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama, berdasarkan laporan dan makluman yang mereka buat setiap kali sebelum operasi.

Awal Disember lalu, The Malaysian Insight melaporkan Azhar bertelagah dengan exco agama Kedah, Ismail Salleh.

Beliau mendakwa pemimpin Amanah Kedah itu campur tangan membatalkan forum anjuran Skuad Badar di sebuah masjid di Sungai Petani.

Azhar juga menuduh Ismail berdolak dalik selepas kononnya berjanji mahu membantu Skuad Badar berdaftar secara sah dengan pendaftar pertubuhan (RoS). – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen