Lebih 5,000 orang awam terbunuh dalam perang saudara Yaman


Serangan udara tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi menjadi punca utama kematian orang awam. – Gambar EPA, 5 September, 2017.

LEBIH 5,000 orang awam terbunuh di Yaman sejak Mac 2015, termasuk 1,184 kanak-kanak, kata pejabat hak asasi manusia PBB hari ini yang mengulangi perlunya campur tangan antarabangsa dalam konflik itu.

Pejabat itu diberikan mandat untuk mengesan kemusnahan di Yaman sejak bermulanya pertempuran antara tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi dan pemberontak Huthi disokong Iran dan bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

“Antara Mac 2015 sehingga 30 Ogos, sekurang-kurangnya 5,144 orang awam terbunuh dan lebih daripada 8,749 pula cedera. Seramai 1,184 kanak-kanak turut menjadi mangsa,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Serangan udara adalah punca utama kematian orang awam termasuklah kanak-kanak,” kata kenyataan itu merujuk kepada serangan yang seringkali dilakukan tentera kerajaan disokong Arab Saudi.

“Sejumlah 3,233 orang awam terbunuh disebabkan serangan itu.”

Lebih daripada 8,400 orang awam dan tentera dipercayai terbunuh dalam perang saudara di Yaman setakay ini.

Ketua Hak Asasi PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein berulang kali mendesak siasatan antarabangsa dilakukan ke atas pencabulan hak asasi manusia di Yaman.

Malangnya usaha itu seringkali terhalang disebabkan tekanan Arab Saudi dalam Majlis Hak Asasi Manusia, badan PBB yang bertanggungjawab mengarahkan siasatan antarabangsa.

Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa pula mengatakan siasatan yang dilakukan mereka sudah mencukupi .

Walaupun begitu, siasatan itu diragukan pegawai hak asasi dunia. – AFP, 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen