Muhyiddin nafi Pakatan paksa Tok Batin baca ucapan sokong calon Semenyih


Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin Yassin memberitahu Tok Batin Kg Sungai Lalang Baru Aleh Abdullah boleh memilih untuk membaca ucapan disediakannya atau tidak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Februari, 2019.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan Pakatan Harapan (PH) memaksa Tok Batin Kg Sungai Lalang Baru, Semenyih, Aleh Abdullah membacakan teks ucapan menyokong calon kerajaan memerintah itu, Mohd Aiman Zainali, 30.

Muhyiddin sebaliknya berkata, Aleh boleh memilih sama ada untuk membaca atau tidak ucapan yang disediakan untuknya dalam majlis tersebut.

“Tak ada paksaan. Itu terserah kepada dia nak baca teks ucapan. Itu hak dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas berucap di majlis Rapat Rakyat Semenyih, malam tadi.

Menteri dalam negeri itu berkata demikian mengulas kenyataan Aleh yang berkata ucapan menyokong calon PH yang dibacanya dalam program bersama Muhyiddin siang tadi disediakan bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dikenali sebagai “En Dollah”.

Sementara itu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengharapkan pengundi di Semenyih tidak beremosi ketika mengundi pada 2 Mac depan, susulan serangan pembangkang mengatakan PH gagal membantu rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pimpinan kerajaan hari ini sedang berusaha menunaikan janji-janji pilihan raya disamping menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 61 tahun.

“Saya jelaskan di sini supaya kita faham, supaya kita tidak terlalu emosional. Umno punca masalah. Najib Razak ketua sampai negara hampir musnah. Bukan PH menjadi punca masalah ini. Saya minta berlaku adil kepada kita.

“Jangan undi pihak yang rosakkan negara. Umno, dan pemimpin mereka yang rosakkan negara sedangkan kita dah tolak mereka dalam pilihan raya lepas, sepatutnya tolak mereka juga dalam PRK kali ini,” kata Muhyiddin.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula mengakui calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih belum berpengalaman.

Namun kata Azmin, Mohd Aiman Zainali, 30, juga tidak mempunyai pengalaman mencuri duit rakyat.

“Betul Aiman tiada pengalaman, tiada pengalaman curi duit, tidak ada pengalaman akaun peribadi ada RM2.6 bilion, tiada pengalaman dengan perempuan nama Altantuya,” kata Azmin dalam ucapannya di Semenyih malam tadi.

Beliau berkata, Aiman bagaimanapun berpotensi untuk mewakili pengundi Semenyih selaku calon muda.

“Tapi Aiman ada potensi anak muda menjadi wakil rakyat di Semenyih. Beri peluang kepada orang muda supaya ada idea baru. Masuk DUN bantu menteri besar, saya yakin Aiman boleh pikul tanggungjawab dengan baik,” kata Azmin lagi.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon Bebas.

PH mempertaruhkan Mohd Aiman Zainali, 30, bendahari Bersatu di Hulu Langat. Jurutera elektrik itu juga menantu kepada penyandang DUN Semenyih, Bakhtiar Mohd Noor yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

BN pula meletakkan pemimpin akar umbi Umno, Zakaria Hanapi sebagai calonnya manakala calon PSM ialah Nik Aziz Afiq Abdul, 25. – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen