TIMBALAN Presiden PKR Azmin Ali mengharapkan pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan bersabar selepas beliau mempersoalkan tindakan kerajaan memulakan rundingan untuk mengambil alih empat tol di Lembah Klang milik Gamuda Berhad.
Azmin berkata, Putrajaya meneliti satu persatu langkah yang perlu dilaksanakan mereka, terutamanya membabitkan tindakan berkaitan tol.
“Satu persatulah, tadi kata beban kewangan besar, bila kita ambil empat kata kita tiada kemampuan ini suruh ambil satu lagi, yang mana satu ini,” kata Azmin, ketika ditemui selepas ceramah Rapat Rakyat di Semenyih, malam tadi.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamad yang mempersoalkan tindakan berkenaan dan tidak mengambil alih lebuh raya milik Plus Bhd.
“Berapa banyak nak kita guna duit kerajaan? Dengan kerajaan mengatakan tak ada duit (sekarang), maknanya kena pinjam.
“Mengapa sanggup berhutang untuk selamatkan Gamuda? Mengapa Gamuda saja? Mengapa tidak Plus sedangkan saham syarikat Plus dimiliki Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” kata Mohamad.
Azmin berkata, Mohamad sepatutnya sedar sebarang rundingan yang belum dimuktamadkan tidak boleh didedahkan butirannya kepada umum.
“Ia proses rundingan. Mana mungkin presiden umno tuntut untuk didedahkan ketika rundingan sedang berjalan,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu lagi.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin turut mengecam bekas perdana menteri Najib Razak kerana kritikannya berkaitan pengambilalihan tol ketika kempen PRK Semenyih.
“Kalau diteliti satu-satu banyak perkara yang mereka tak dapat laksanakan. Mereka juga berjanji dulu untuk menyelesaikan masalah tol.
“Saya duduk dalam jemaah menteri, hanya bincang tapi tak ada keputusan. Tapi tengok PH, beberapa hari lepas saya dah bagi tahu, ada berita baik akan diumumkan,” kata Muhyiddin dalam ucapannya.
Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan pengguna di empat lebuh raya akan menikmati kadar tol diskaun 30% bagi pengunaan waktu biasa, selepas konsesi lebuhraya berkenaan diambil alih kerajaan susulan rundingan dengan Gamuda Berhad.
Empat lebuh raya terbabit adalah Lebuh raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.
Kadar tol terlibat turut diumum akan dihapuskan sama sekali antara pukul 11 malam hingga 5 pagi. – 25 Februari, 2019.
Komen