LAPAN orang termasuk empat anggota keselamatan terbunuh dalam tiga pertempuran berasingan dengan kumpulan militan di barat daya Pakistan dan Karachi hari ini.
Dalam serangan besar-besaran semalam, sebuah konvoi Frontier Corps diserang militan di sebuah daerah di wilayah Balochistan iaitu Panjgoor. Kejadian itu meragut nyawa tiga anggota termasuk seorang leftenan kolonel dan mencederakan tiga yang lain.
Setakat ini tiada mana-mana pihak mengakui serangan di Panjgoor yang terletak 520 kilometer di barat daya Quetta, namun seorang pegawai keselamatan berkata ia mungkin perbuatan pemisah Baloch.
Dalam satu kejadian berasingan, polis di bandar selatan Karachi membunuh empat anggota Taliban Pakistan yang disyaki dalam satu kejadian tembak-menembak.
“Kami membunuh empat militan termasuk sepupu kepada ketua Tehreek-i-Taliban Pakistan (TPP), Maulvi Fazlullah. Kami menyerbu tempat persembunyian di Malir tetapi ia bertukar kepada tembak-menembak,” kata pegawai kanan polis, Rao Anwar Ahmed.
Dalam satu kejadian lain di Karachi, suspek militan membunuh seorang pegawai polis dan mencederakan lagi seorang ketika mereka menyerbu sebuah rumah untuk menahan seorang suspek kejadian cubaan bunuh seorang ahli parlimen Sabtu lalu.
Pakistan sudah berdekad memerangi pemberontak Islam, etnik dan pemberontakan politik tetapi beberapa tahun kebelakangan ia semakin berkurangan berikutan operasi ketenteraan di seluruh negara. – AFP, 5 September, 2017.
Komen