SEBUAH keluarga Palestin di timur Jerusalem di halau daripada rumah yang mereka duduki selama separuh kurun oleh polis Israel.
Keluarga Shamasneh sudah bertahun berjuang menuntut keadilan di mahkamah menentang pengusiran itu selepas sebuah keluarga Yahudi mendakwa rumah itu adalah hak milik keluarga mereka yang meninggalkan timur Jerusalem yang ditakluk tentera Jordan pada perang 1948.
Di bawah undang-undang Israel, sekiranya penduduk Yahudi berjaya membuktikan keluarga mereka tinggal di timur Jerusalem sebelum perang 1948 mereka boleh memohon pejabat pengawal Israel untuk merampas hartanah itu dan menyerahkan kembali kepada “tuan milik yang berhak”.
Dalam perang itu, ribuan penduduk Yahudi lari meninggalkan Jerusalem apabila tentera Jordan menakluk bandar itu, sementara ratusan ribu Palestin pula meninggalkan kawasan itu yang kemudiannya menjadi negara Israel.
Undang-undang serupa tidak wujud kepada penduduk Palestin yang kehilangan tanah mereka.
Pada 2013, Mahkamah Agung Israel mengeluarkan keputusan memihak kepada penduduk Yahudi yang kemudiannya menjual hartanah yang diberikan kepada mereka.
Seorang wartawan AFP hari ini melihat seorang pemuda Yahudi berpindah masuk ke dalam bangunan itu selepas keluarga Shamasnehs diiring keluar polis.
Fahamiya Shamasneh,75, memberitahu AFP yang polis datang sebelum subuh mengarahkannya, suaminya yang sakit, Ayoub, 84, anak lelaki mereka dan keluarganya untuk keluar daripada rumah mereka di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah yang sudah menjadi kediaman mereka sejak 53 tahun lalu.
Ia adalah pengusiran pertama di kawasan kejiranan itu pada 2009, menurut kumpulan anti penempatan Israel, Peace Now.
Israel menakluk kawasan timur Jerusalem pada Perang Enam Hari 1967 dan mengasingkannya untuk diperintah, tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyrakat antarabangsa.
Hampir 200,000 penduduk Yahudi kini tinggal di timur Jerusalem dalam kediaman yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa. – AFP, 5 September, 2017.
Komen