KADAR hibah atau dividen Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2018 dijangka rendah namun masih munasabah, kata penganalisis ekonomi, mengambil kira penstrukturan semula yang sedang dilakukan agensi itu.
Penganalisis menganggarkan kadar hibah yang dijangka diumum Mac ini mungkin hampir kepada unjuran kadar inflasi negara pada 2.7%.
Penganalisis ekonomi Nazarry Rosli memberitahu The Malaysian Insight, proses pemulihan TH yang sedang berjalan akan menjadikan imbangan akaun agensi itu lebih baik.
“Kalau (hibah) bawah 3%, menjerit orang (pendeposit). Kalau itu jumlahnya, jatuh mendadak sangat, nanti bengang orang,” katanya, ketika dihubungi, baru-baru ini.
“Tapi tak tahulah TH berani atau tidak nak umum hibah rendah sangat berbanding institusi lain.
“Saya rasa (hibah TH) atas 3% (kerana) kadar inflasi pun dekat 3%. Kebiasaannya itu jadi penanda aras, tak boleh kurang daripada inflasi,” tambah Nazarry.
Sebagai perbandingan, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) baru-baru ini mengumumkan agihan pendapatan 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Ia yang terendah sejak dana itu dilancarkan pada 2 Januari 1990, dipengaruhi faktor ekonomi dalaman serta luaran yang tidak seimbang.
Bagi tahun kewangan 2017, TH memberi hibah 4.5% kepada semua pendeposit dengan tambahan hibah haji 1.75% kepada pendeposit yang belum menunaikan haji.
Institusi pengendali ibadah haji itu kini sedang melalui proses pemulihan bagi mengimbangi aset dan liabilitinya, selepas dilapor merekodkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada tahun kewangan sama.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Zukri Samat pada 15 Januari lalu mengingatkan pendeposit agar tidak mengharapkan agensi itu mengumumkan kadar hibah yang tinggi.
“Jumlah hibah itu akan bergantung kepada prestasi kewangan TH. Jangan letak harapan yang tinggi,” katanya, sambil memberi jaminan hibah bagi 2018 akan tetap diberikan.
Pada 11 Disember lalu, TH mengumumkan pemindahan aset yang tidak menguntungkan bernilai lebih kurang RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Bank Negara Malaysia, bertujuan memantapkan semula kedudukan kewangannya.
Setakat 30 Disember 2018, TH selesai memindahkan 106 ekuiti yang tidak berprestasi baik kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd, kata Zukri.
Penyusunan semula aset TH dibuat selepas agensi itu mendapati pemberian hibah kepada pendeposit antara 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof berkata pemberian hibah sejak 2014 tidak memenuhi dua syarat yang membolehkan pemberiannya mengikut akta iaitu aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.
Menurut Nazarry, langkah penstrukturan semula kewangan TH dijangka memberikan kesan positif kepada badan berkenaan.
“TH pun dah buat SPV. Itu salah satu cara nak buatkan akaun tak nampak teruk dengan akaun rugi dah ditolak ke tepi. Itulah salah satu cara keluarkan pelaburan tak menguntungkan, dengan cara itu mereka masih boleh bertahan, yang ada tidaklah nampak rugi sangat.
“Dengan penyusunan semula diharap mereka masih mampu memberi pulangan pada kadar yang munasabah kepada para pelabur,” kata Nazarry lagi.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (Ideas) Adli Amirullah berkata, penubuhan SPV itu juga mampu mengembalikan keyakinan pelabur kepada TH, sekaligus mampu memberikan pulangan kepada TH yang membolehkan ia memberi hibah munasabah kepada pendepositnya
“Secara umumnya disebabkan skandal TH baru-baru ini hibah mungkn akan jatuh sedikit. Ia tak setinggi sebelum ini. Sama ada kekal atau turun, cuma berapa peratus saya tak pasti,” kata Adli, kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, penstrukturan semula itu juga boleh menstabilkan sokongan dan keyakinan banyak pihak kepada TH.
“SPV itu mungkin akan dilihat oleh pelabur sebagai perkara positif, berbanding tahun tahun lepas. Ia faktor yang boleh stabilkan semula keyakinan kepada TH.
“Walaupun ia teruk, mungkin TH boleh kekalkan pemberian hibah, naik pun mungkin boleh beberapa peratus,” katanya.
Adli berkata, selain isu pengurusannya, TH juga tidak terkecuali daripada menerima tempias kelembapan pasaran ekonomi global.
“Kita lihat pula macam mana keyakinan pelabur, ekonomi dalam negara berjalan dan bagaimana TH laburkan dana mereka.
“Ia bergantung dalam banyak faktor, kalau melabur luar negara TH sudah pasti akan terlibat dengan suasana ekonomi global,” katanya lagi. – 25 Februari, 2019.
Komen