PKR masih pertimbangkan calon PRK Rantau


SM Amin

Anwar Ibrahim berkata PKR masih mempertimbangkan calon yang sesuai bagi bertanding PRK Rantau yang akan diadakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2019.

PKR masih lagi mempertimbangkan calon yang bakal mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau akan datang, kata Presidennya Anwar Ibrahim.

“Itu sedang kita pertimbangkan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan perayaan Ponggal peringkat Parlimen Port Dickson di Springhill Lukut, hari ini.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Ditanya kedudukan bekas calon PKR S. Streram yang dinafikan haknya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anwar berkata perkara itu juga belum diputuskan.

“Itu kena bincang. Belum diputuskan lagi. Kalau you (wartawan) nak pun kita boleh pertimbangkan,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Dalam PRU14, Streram disekat daripada masuk ke pusat penamaan calon untuk mengemukakan kertas pencalonannya dengan alasan tidak memiliki pas khas yang dikeluarkan SPR untuk calon.

Selain mencabar kemenangan Mohamad tanpa bertanding, Streram turut memfailkan saman terhadap SPR menuntut ganti rugi RM7.6 juta.

Persaingan untuk melobi sebagai calon PKR di PRK Rantau hangat dengan pimpinan tempatan mahupun pusat cuba mengetengahkan calon masing-masing.

Ketua Cabang PKR Cabang Rembau R. Tanggam mendakwa hanya mencadangkan dua nama, tidak termasuk Streram sebagai calon yang akan bertanding dalam PRK Rantau.

Bagaimana Streram menafikan kenyataan itu dan menegaskan selain Tanggam dan isterinya, K. Bathmavathi, tiga nama lain yang disenarai pendek oleh parti termasuk dirinya sendiri Hanif Hasan dan Saparin Musa.

Sekumpulan penyokong Pakatan Harapan yang menggelar diri sebagai Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) DUN Rantau turut mengadakan sidang media menggesa pucuk pimpin PH tidak menamakan Streram sebagai calon. Alasan mereka, beliau bukan anak tempatan.

Dalam pada itu, Wanita PKR juga mengenal pasti tiga individu yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata wanita profesional dicadangkan bagi PRK itu kerana pembabitan mereka di pentas politik negara ketika ini masih di kurang memuaskan.

Minggu lalu, Pengerusi SPR Azizan Azhar Harun berkata pihaknya menunggu perakuan mahkamah mengenai kedudukan kerusi DUN Rantau sebelum menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian. – 24 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen