Hampir 125,000 pelarian Rohingya lari ke Bangladesh, kata PBB


Pelarian Rohingya hilang arah tuju apabila tidak diterima kerajaan Bangladesh dan berdepan keganasan atau mungkin kematian sekiranya kembali ke Myanmar. – Gambar EPA, 5 September, 2017.

HAMPIR 125,000 pelarian, kebanyakannya etnik Rohingya beragama Islam, memasuki Bangladesh berikutan keganasan yang memuncak di Myanmar pada 25 Ogos, kata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Seramai 37,000 pelarian tiba ke negara itu dalam tempoh 24 – jumlah yang paling besar dalam satu hari sejak keganasan itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa sempadan Bangladesh bertindak menghantar semula pelarian Rohingya ke Myanmar dan enggan lagi menerima pelarian itu.

Malah penduduk di pulau terbabit juga diarahkan untuk menyerahkan semua pelarian Rohingya kepada pengawal sempadan untuk dihantar semula ke Myanmar.

Bangladesh sebelum ini sudah menerima lebih 400,000 pelarian Rohingya yang ditempatkan di kem perlindungan sementara di beberapa kawasan di Cox Bazaar.

Keganasan kembali tercetus apabila pihak tentera Myanmar bertindak melepaskan tembakan terhadap pelarian Rohingya yang cuba menyeberangi sempadan ke Bangladesh melalui Sungai Naf.

Berikutan terdesak untuk menyelamatkan diri, ada dalam kalangan pelarian terbabit bertindak melarikan diri melalui jalan laut dan menuju ke pulau St Martin, iaitu sebuah pulau kecil yang terpencil sembilan kilometer dari perairan Bangladesh.

Terbaharu, The Guardian melaporkan Myanmar menyekat semua agensi PBB daripada menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air bersih dan ubat-ubatan kepada ribuan orang awam yang tersepit di tengah kancah tindakan ketenteraannya terhadap kumpulan minoriti Rohingya.

PBB menghentikan bantuan di utara Rakhine selepas kumpulan militan menyerang tentera Myanmar pada 25 Ogos lalu, yang kemudian dibalas oleh pasukan tentera dengan serangan yang membunuh beratus-ratus orang awam.

Pejabat penyelaras PBB di Myanmar memberitahu The Guardian pengiriman bantuan itu digantung “kerana keadaan keselamatan dan sekatan oleh kerajaan (Myanmar)” yang menghalang mereka daripada menghulurkan bantuan yang diperlukan. – AFP, 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen