Penurunan tol, BN perlu henti fitnah Pakatan


SAYA membaca laporan media semalam di mana mantan perdana menteri Najib Razak, mempertikaikan pengumuman penurunan tol di beberapa lebuh raya sekitar Selangor dan Kuala Lumpur seolah-olah gimik kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRK Semenyih dengan rasa penuh kesal.

Pertama sekali, sebagai seorang yang kini ingin memaparkan dirinya jaguh rakyat, Najib seharusnya gembira dengan apa-apa pengumuman tentang penunaian janji manifesto PH yang meringankan beban rakyat.

Kedua, Najib sebagai perdana menteri yang meninggalkan beban hutang negara yang terbesar dalam sejarah sejak Malaya merdeka lagi, semestinya beliau sendiri menyedari kesukaran sekali gus pasti kagum akan kebolehan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad melunaskan janji penghapusan tol ini.

Ketiga, memandangkan negara dilanda rentetan PRK sejak PRK Sg Kandis pada Ogos tahun lepas, tidak mungkin inisiatif pemansuhan tol seperti ini dapat diumumkan tanpa ia berlaku pada tempoh menjelang suatu PRK. Adakah Najib merasakan kerajaan PH terpaksa menunggu masa di luar tempoh mana-mana PRK sebelum menunaikan apa-apa janji manifesto Buku Harapan?

Keempat, saya harap Najib sedia memohon maaf atas keterlanjurannya mengkritik sesudah maklumat usaha terkini pemansuhan tol diperincikan semalam oleh Pejabat Perdana Menteri dan ternyata ia memanfaatkan jutaan masyarakat yang disentuh, bukan sekadar pengundi Semenyih.

Saya harap ia juga menghentikan hamburan fitnah Barisan Nasional yang kononnya kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihan raya.

Walaupun saya tidak setuju dengan slogan peribadi Najib yang seolah-olah mengajar masyarakat yang seorang “Boss” tidak perlu malu atas segala tindak-tanduknya, sebagai seorang pemimpin PH, saya menghormati haknya untuk suara, namun berharap beliau lebih prihatin dalam bersuara.

Kita ambil yang jernih dan buang yang keruh, maka di sini ingin saya berterima kasih kepada Najib kerana memberi peluang PH menjelaskan dengan lebih baik bukti penunaian janji-janji kita untuk menurunkan kos sara-hidup rakyat dengan memansuhkan tol secara berperingkat. – 24 Februari, 2019.

* Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi ialah ahli Majlis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen