Kemarau di Ethiopia: Pertubuhan makanan PBB gesa lebih banyak sokongan


Seorang bayi berusia enam bulan yag kekurangan zat makanan dipangku ibunya. PBB semalam menggesa masyarakat dunia memperkukuhkan campur tangan dalam masalah kebuluran yang melanda Ethiopia. – Gambar EPA, 5 September, 2017.

TIGA pertubuhan makanan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa masyarakat dunia memperkukuhkan campur tangan dalam masalah kebuluran yang melanda Ethiopia, lapor agensi berita Xinhua China.

Gesaan itu disuarakan tiga ketua pertubuhan iaitu Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia David Beasley, Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Jose Graziano da Silva dan Presiden Tabung Pembangunan Pertanian Antarabangsa Gilbert F. Houngbo.

Pegawai berkenaan mengadakan lawatan ke Tigray dan Ethiopia yang dilanda kemarau selama empat hari bermula 1 September.

Ketiga-ketiga ketua berkenaan turut menyedari terdapatnya keperluan kerjasama untuk mengatasi masalah kemarau daripada menjadi bertambah serius dan pada masa sama memuji usaha kerajaan Ethiopia dalam menanggani krisis.

“Kita perlu berterima kasih di atas apa yang Ethiopia lakukan selain bekerjasama baik dengan penderma,” kata Beasley.

Kerajaan Ethiopia dan rakan kerjasama bantuan kemanusiaan melancarkan Dokumen Keperluan Kemanusiaan 2017 untuk mengumpul dana berjumlah AS$948 juta bagi membolehkan bantuan kecemasan dan makanan disalurkan kepada hampir 5.6 juta orang.

Selain itu, mereka turut mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Ethiopia dan wakil pertubuhan mengenai cara terbaik menguatkan sokongan bagi memenuhi matlamat pembangunan Ethiopia dan menangani cabaran kemanusiaan.

Bahagian selatan dan tenggara Ethiopia paling teruk terjejas akibat tiada hujan sejak tiga tahun berturut-turut.

Sejak itu jumlah penduduk yang memerlukan bantuan kemanusiaan meningkat kepada lebih 8.5 juta pada separuh kedua tahun 2017. – Bernama, 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen