Pendedahan Hakim Hamid, dua bekas aktivis lapor polis


Christopher Rabin

Rafzan Ramli dan Khairul Amal mahu polis menyiasat salah laku yang berlaku semasa peringkat rayuan terhadap sabitan mereka menjalankan perhimpunan haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Februari, 2019.

DUA bekas aktivis membuat laporan polis hari ini atas tuntutan oleh Hakim Hamid Sultan Abu Backer terdapat salah laku hakim membabitkan kes mereka pada 2013.

Rafzan Ramli dan Khairul Amal mahu polis menyiasat apa-apa salah laku yang dikatakan berlaku semasa peringkat rayuan terhadap sabitan mereka menjalankan perhimpunan haram.

“Kami dibebaskan oleh mahkamah majistret tetapi kemudiannya pihak pendakwa raya merayu kepada mahkamah tinggi.

“Kami berdepan perbicaraan semula dan didapati bersalah. Kami merayu kepada mahkamah rayuan pada 2013 tetapi rayuan kami ditolak,” kata Rafzan yang bekerja sebagai juruelektrik.

Hamid pada 14 Februari lalu memfailkan afidavit mendakwa berat sebelah kehakiman dalam keputusan untuk memihak kepada kerajaan semasa serta gabungan antara hakim kanan dan kontraktor swasta atas projek-projek kerajaan yang tidak disiapkan untuk menuntut pampasan.

Afidavit itu menyokong saman peguam Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim Richard Malanjum kerana gagal mempertahankan integriti badan kehakiman terhadap dua kes campur tangan termasuk kes ayahnya yang merupakan bekas pengerusi DAP Karpal Singh.

Dari kiri Rafzan Ramli, Khairul Amal bersama peguam mereka Joshua Tay dan Michael Cheah membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Februari, 2019.

Mengikut afidavit Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad adalah yang pertama membuat laporan polis berhubung pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) sebagai penganjur perhimpunan Black 505 pada 2013. 

Nik Nazmi sebelum ini didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menganjurkan perhimpunan Black 505 lima tahun lalu.

Rafzan dan Khairul pula antara lima pelajar yang disabitkan dengan perhimpunan haram pada 2001.

Peguam mereka, Michael Cheah berkata afidavit hakim membincangkan bagaimana rayuan pelajar diputuskan.

Beliau juga berkata mereka merancang membuat semakan untuk keputusan mahkamah rayuan.

“Tuduhan dalam afidavit itu serius dan memerlukan siasatan menyeluruh serta semakan semula terhadap keputusan rayuan itu,” katanya. – 23 Februari, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen