Hadi jangan guna Islam untuk fitnah, pesan Anwar


SM Amin

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pembohongan Abdul Hadi Awang mengenai dakwaan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad hanya akan merosakkan imej Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Februari, 2019.

ANWAR Ibrahim mengingatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya tidak menggunakan Islam untuk berbohong dan memfitnah mengenai dakwaan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR itu menafikan dakwaan Hadi dan berkata pembohongan tersebut hanya akan merosakkan Islam dan imej parti itu.

“Kalau dia nak guna politik untuk gelanggang fitnah dan bohong, jangan guna nama Islam.

“Dia merosakkan imej Islam atas nama parti Islam. Orang bukan Islam kata syeikh-syeikh sekarang boleh bohong, syeikh-syeikh sekarang boleh fitnah.

“Jadi saya nak nasihat sebagai seorang orang Islam, saya ingin nyatakan kita boleh berpolitik tetapi hentikan politik fitnah dan bohong,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas kenyataan Hadi semalam yang mempertahankan dakwaan bahawa PKR dan DAP sedang merancang untuk menggulingkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Hadi membangkitkan isu tersebut susulan skandal berhubung penyaluran dana dari Umno kepada PAS.

Agensi antirasuah kini menyiasat dakwaan bahawa wang disalurkan dari Umno kepada PAS itu berpunca dari penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd.

Anwar berkata, tindakan PAS memainkan isu undi tidak percaya ini adalah untuk menutup isu RM90 juta yang didakwa diterima oleh PAS daripada Umno.

“Dia ni masalah PAS ni dia ada masalah RM90 juta, ambil wang Umno dia nak alih (isu). Saya nak nasihat orang Islam tak boleh fitnah,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri acara sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Bangsar. – 23 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen