Pemberi maklumat bekas suami Indira Gandhi akan diberi ganjaran RM10,000


Ganjaran ditawarkan oleh Pasukan Indira Gandhi Action Team (Ingat) yang ditubuhkan oleh Malaysia Hindu Sangam dan beberapa pertubuhan Hindu lain kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai bekas suami M. Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah yang menukar agama anak-anak mereka kepada Islam tanpa izinnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Februari, 2019.

GANJARAN RM10,000 akan diberi kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai bekas suami M. Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah yang menukar agama anak-anak mereka kepada Islam tanpa izinnya.

Jumlah itu ditawarkan oleh Pasukan Indira Gandhi Action Team (Ingat) yang ditubuhkan oleh Malaysia Hindu Sangam dan beberapa pertubuhan Hindu lain.

Presiden Ingat Arun Dorasamy berkata orang ramai boleh juga menderma untuk menambah jumlah ganjaran, yang akan diberi kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat sahih mengenai Riduan.

Riduan menculik anak bongsu pasangan itu, Prasana Diksa pada Mac 2009, ketika masih bayi.

“Kita ada pasukan penyiasan untuk sahkan maklumat,” kata Arul pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Indira yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau sudah habis upaya untuk mengesan anaknya itu. Pihak polis masih gagal untuk mengesan mereka berdua, katanya.

“Saya sangat perlukan bantuan orang ramai. Ketua polis negara betul-betul buat saya kecewa. Saya harap dengan ganjaran ini, kita akan dapat jumpa dia (Prasana),” katanya, merujuk kepada Khalid Abu Bakar yang merupakan ketua polis negara negara kesnya berada di mahkamah.

Indira menang kesnya itu tahun lalu, selepas 10 tahun berjuang mendapatkan hak penjagaan Prasana dan membatalkan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama ketiga-tiga anaknya pada Januari 2018.

Dua anaknya yang lebih tua tinggal bersamanya dan dibesarkan sebagai Hindu. Kali terakhir Indira melihat Prasana ialah ketika anaknya itu masih bayi.

“Gambar terakhirnya yang saya tengok ialah pada 2013. Saya juga tak tahu kalau dia masih hidup lagi,” kata Indira. – 23 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen