.jpg)
KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sememangnya di luar dugaan. Malah, tindakan mantan perdana menteri Najib Razak akur dengan keputusan PRU14 itu juga adalah tidak terduga. Ini menjadi tindakan tersebut sebagai tindakan paling demokratik oleh Barisan Nasional (Barisan) sejak lebih 6 dekad memerintah.
Pun begitu, pada malam keputusan PRU-14 tersebut, kebanyakan penganalis dan sarjana politik yang berada di studio sama ada di studio Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), mahu pun Astro Awani hilang kepetahan berbicara.
Ini berikutan keputusan tidak rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Barisan Nasional (BN) kalah dan Pakatan Harapan (PH) menang.
Dilemanya ialah apakah emosi yang patut kami tonjolkan kepada penonton di luar sana? Sekiranya bergembira ditakuti BN tidak mengaku kalah dan ini akan melukakan hati mereka. BN bukan sahaja boleh memerintahkan SPR menukar keputusan, bahkan memanggil Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Sekiranya berduka ditakuti pula BN menyerahkan kuasa dan ini akan mengguriskan pula hati kerajaan baharu PH. Manalah tahu, PH akan menjadi lebih autokratik berbanding BN walaupun mereka sekian lama menjanjikan pendemokrasian sejak era Reformasi 1998 lagi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ialah PRK keenam dalam siri PRK pasca PRU14. Sebelum ini telah berlangsung PRK di DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan Parlimen Cameron Highlands.
Penganalisis politik terdahulu selalu menyatakan siri PRK selepas PRU merupakan ujian litmus bagi parti pemerintah dan kepemimpinannya, sama ada mereka baru memperbaharui mandat ataupun baru mendapat mandat baharu.
Ini kerana mereka melihat keputusan PRK sebagai indikator populariti, pengukur sokongan rakyat, atau approval rate terhadap sesebuah kerajaan. Keputusan siri PRK itu kemudiannya digunakan untuk menujum keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan PRU yang mendatang.
Begitulah, keinginan menjadi peramal masa depan menjadikan mereka terlalu taksub kepada keputusan pilihan raya sehingga terlepas pandang kepada perjalanannya.
Tanpa menafikan keputusan pilihan raya sebagai maklumat politik yang sangat penting dalam politik Malaysia, trend terkini memfokuskan pula kepada perjalanan pilihan raya. Ini kerana tempoh berkempen semasa PRK cukup kaya dengan maklumat yang boleh digunakan untuk menilai sikap setiap parti bertanding terhadap demokrasi.
Namun dalam konteks sekarang, perkara tersebut lebih relevan kepada parti pemerintah, yakni PH kerana mereka yang sedang berkuasa.
Sebagai kerajaan, PH mempunyai peluang yang cukup besar untuk memanipulasi sistem pilihan raya sebagaimana kerajaan terdahulu. Lagipun janji utama PH dalam PRU14 ialah pendemokrasian politik Malaysia, dan mereka telah mencanangkan tentangnya sejak bekerjasama dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan melalui aktivisme Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) lagi.
Mereka berazam membebaskan SPR daripada pengaruh kerajaan, menghapuskan amalan gerrymandering, dan menamatkan manipulasi ‘3M,’ yakni Media, Money, Machinery dalam sebarang pilihan raya.
Oleh itu, ujian sebenar untuk PH dalam siri PRK ini ialah cabaran kepada mereka untuk tidak menyalahgunakan kedudukan, tidak mengeksploitasi jentera kerajaan yang terdiri daripada aset dan kakitangannya, dan tidak menggunakan dana kerajaan bagi keuntungan politik kepartian mereka.
Setakat ini, BN telah muncul sebagai pembangkang yang berkesan terutama ketika PRK. Mereka menggunakan media sosial untuk menegur salah laku yang pernah mereka lakukan sewaktu menjadi kerajaan.
Antaranya menurap jalan raya menjelang pilihan raya, menggunakan kenderaan kerajaan daripada kereta sehingga helikopter untuk datang ke kawasan pilihan raya, menggunakan staf kerajaan untuk mambantu kempen, pengumuman projek pembangunan dan prasarana baharu lengkap dengan upacara pecah tanahnya, para pemimpin parti pemerintah berbondong-bondong melawat kawasan pilihan raya atas kapasiti menteri kabinet dan pemberian wang tunai.
Ternyata, mantan kerajaan boleh menjadi pembangkang yang berkesan dengan tuduhan yang membongkarkan kerajaan Malaysia Baharu juga dibelenggu oleh politik pembangunan dan politik wang.
Senarai di atas boleh diletakkan di bahu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana perkara tersebut adalah norma di era ‘Mahathir 1.0’ dari tahun 1981 hingga 2003.
Kerana itulah para sarjana politik menggelar demokrasi Malaysia pada era tersebut dengan ungkapan seperti, ‘Quasi-democracy’ oleh Zakaria Ahmad, ‘Semi-Democracy’ oleh William Case, ‘Neither Authoritarian Nor Democracy’ oleh Harold Crouch dan beberapa lagi yang kesemuanya menyatakan Malaysia adalah negara yang separa demokratik.
Sehubungan itu, demokratik atau tidak pemerintahan PH, substantif atau tidak perubahannya dapat dilihat dengan lebih jelas semasa PRK. Malah, PRK bukan sahaja boleh memberi petunjuk sama ada PH akan menjadi ‘kerajaan sementara’ yang berwibawa dalam PRU15, bahkan menunjukkan juga jiwa besar mereka sekiranya tewas dalam PRU15 nanti.
Namun begitu, pemerhatian terhadap pemerintahan kerajaan PH dari PRU14 sehingga PRK Semenyih yang bakal menjelang menunjukkan Harapan sedang melaksanakan perubahan yang cukup substantif.
Kerajaan PH menepati janji mereka dengan tidak mengongkong media sehinggakan RTM boleh kelihatan seperti mensabotaj menteri-menterinya. PH juga tidak cuba menguasai syarikat-syarikat media swasta seperti Astro, Media Prima, dan Kumpulan Utusan. Pun begitu, sumbangan terbesar kerajaan PH ialah membebaskan semula media sosial dengan memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar.
Ekoran itu Malaysia Baharu bukan hanya menyaksikan kewartawanan rakyat terus subur, tetapi kewartawanan penjawat awam pula yang muncul. Mereka yang setia dengan mantan kerajaan menyebarkan pelbagai maklumat berkenaan kerajaan baharu yang dipilih oleh rakyat yang merupakan ‘bossku’ sebenar dalam sistem demokrasi.
Dari segi ini, kerajaan PH wajar mendapat kredit kerana media sosial terus dapat berperanan sebegai ‘the Fifth Estate,’ manakala media perdana seperti akhbar, radio, dan televisyen akhirnya dapat memainkan peranan sepatutnya sebagai ‘the Fourth Estate’. Pembangkang seperti BN dan PAS pula dapat memainkan peranan yang sangat berkesan sebagai pembangkang.
Malah, kita menyaksikan penganalisis politik dan sarjana sains politik begitu bebas berkongsi pendirian yang seringkali bertentangan dengan kerajaan – kebebasan yang tidak pernah dinikmati selama ini.
Menjelang PRK Semenyih ini, kerajaan PH menunjukkan lagi komitmen mereka terhadap pendemokrasian apabila melantik Prof. Madya Dr. Azmi Sharom, seorang sarjana undang-undang, sebagai timbalan pengerusi SPR.
Inilah yang membolehkan ‘semak dan imbang,’ ‘pemisahan kuasa,’ kebebasan bersuara, dan hak asasi manusia semakin mengukuh dalam politik Malaysia.
Cuma seperti kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini, perubahan tersebut tidak begitu dirasakan kerana sifatnya yang bukan material.
Semoga para pengundi di DUN Semenyih bijak memilih dengan terus memilih pendemokrasian. – 23 Februari, 2019.
* Badrul A. Bakar adalah pensyarah sains politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen