Myanmar sekat bantuan PBB ke utara Rakhine


Puluhan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh akibat pembantaian terhadap kelompok minoriti itu, keganasan yang terburuk dalam di wilayah utara negara itu dalam masa beberapa dekad. pembantaian terhadap kelompok minoriti Rohingya, keganasan yang terburuk dalam di wilayah utara negara itu dalam masa beberapa dekad. 

MYANMAR menyekat semua agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) daripada menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air bersih dan ubat-ubatan kepada ribuan orang awam yang tersepit di tengah kancah tindakan ketenteraannya terhadap kumpulan minoriti Rohingya, lapor The Guardian.

PBB menghentikan bantuan di utara Rakhine selepas kumpulan militan menyerang tentera Myanmar pada 25 Ogos lalu, yang kemudian dibalas oleh pasukan tentera dengan serangan yang membunuh beratus-ratus orang awam.

Pejabat penyelaras PBB di Myanmar memberitahu The Guardian pengiriman bantuan itu digantung “kerana keadaan keselamatan dan sekatan oleh kerajaan (Myanmar)” yang menghalang mereka daripada menghulurkan bantuan yang diperlukan.

“PBB sedang berhubung dengan pihak berkuasa untuk memastikan operasi kemanusiaan ini dapat disambung semula secepat mungkin,” kata jurucakap pejabat itu, seperti dipetik oleh The Guardian dalam laporan eksklusifnya dari Balukhali, Bangladesh itu.

Tentera Myanmar didakwa melakukan pembantaian terhadap kelompok minoriti Rohingya, keganasan yang terburuk dalam di wilayah utara negara itu dalam masa beberapa dekad. 

Ketegangan itu mengakibatkan puluhan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dengan sebahagian besar daripada mereka mengalami kecederaan kesan tembakan, lapor akhbar itu.

Kakitangan agensi pelarian PBB, Tabung Penduduk PBB dan Unicef menghentikan operasi di utara Rakhine sejak seminggu yang lalu. Tindakan itu dikhuatiri memberikan kesan bukan saja kepada etnik Rohingya tetapi juga penduduk beragama Buddha yang miskin di kawasan yang sama.

Selain agensi PBB, 16 pertubuhan sukarelawan kemanusian termasuk Oxfam dan Save the Children turut mengadu tentang sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Myanmar terhadap operasi mereka. 

Pelarian Rohingya yang melimpah masuk ke sempadan Bangladesh sejak seminggu lalu melaporkan kisah-kisah ngeri pembantaian di kampung-kampung mereka yang diserbu dan dibakar oleh tentera, lapor The Guardian. 

Kerajaan Myanmar sebaliknya menuduh penduduk Rohingya itu membakar kediaman mereka sendiri dan membunuh etnik beragama Buddha dan Hindu. 

Etnik minoriti Rohingya ditindas sejak berdekad lalu namun ketegangan terbaru ini dibimbangi memuncak dengan kemunculan kumpulan gerila Rohingya yang menggelarkan diri sebagai Tentera Pembebasan Rohingya Arakan. — 5 September 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen