BEBERAPA orang hakim yang dikaitkan dengan salah laku dalam afidavit seorang hakim Mahkamah Rayuan akan dipanggil memberi keterangan kepada agensi antirasuah minggu depan.
Satu sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata fokus siasatan adalah bekas hakim dan juga hakim yang sedang berkhidmat di Mahkamah Rayuan.
Individu berkenaan dinamakan dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.
Sumber berkata, pegawai penyiasat kini sedang mengumpul maklumat yang mencukupi termasuk petunjuk yang diperoleh daripada pemberi maklumat yang mengetahui penglibatan hakim.
“Siasatan dijangka dimulakan pada minggu depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada Khamis lalu, Putrajaya mengumumkan kerajaan akan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat tuduhan Hamid.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ia menyiasat dakwaan salah laku kehakiman tetapi tidak menyatakan sejauh mana siasatan itu akan dibuat.
Mengulas perkara itu, sumber SPRM berkata siasatan ke atas perkara tersebut tidak akan bertentangan dengan prosiding RCI.
“Malah, jika panel RCI minta, kita akan bantu mereka dalam siasatan,” kata pegawai tersebut.
Hari ini, Dr Mahathir menyatakan RCI akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara berkenaan.
Agensi anti rasuah itu menyatakan akan mengkaji terlebih dahulu maklumat daripada afidavit Hamid dan akan meneruskan siasatan mengikut Akta SPRM 2009.
Dalam afidavit terseut Hamid mendakwa beberapa pegawai tertinggi kehakiman menolong pihak swasta menipu kerajaan.
Beliau juga mendakwa ada hakim terkemuka lain yang memihak kepada bekas kerajaan.
Afidavit yang dilihat The Malaysian Insight itu menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman.
Ia berdasarkan dua kes yang didakwa mendapat campur tangan kehakiman.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai perkara yang dinyatakan dalam afidavit berkanaan juga digesa melaporkan dan menyalurkannya kepada pejabat SPRM terdekat.
Setiap pemberi maklumat akan mendapat perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010. – 23 Februari, 2019.
Komen