TENTERA Laut Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran hari ini sebagai amaran kepada Korea Utara terhadap sebarang provokasi di laut, dua hari selepas Pyongyang menjalankan ujian nuklear terbesarnya.
Latihan itu, yang dijalankan di Laut Timur (Laut Jepun) yang melibatkan kapal frigat Gangwon 2,500 tan, kapal peronda 1,000 tan dan kapal peluru berpandu, kata tentera laut dalam satu kenyataan.
“Jika musuh lancarkan provokasi tidak kira di atas atau dalalm air, kami akan balas dan kebumikan mereka ke dalam laut,” kata Komander Kumpulan Pertempuran Maritim-13, Kapten Choi Young-chan.
Ahad lalu Korea Utara melancarkan ujian atom paling berkuasa setakat ini. Ia mendakwa bom hidrogen itu mampu dipasang pada peluru berpandu jarak jauh.
Semalam, tentera Korea Selatan melancarkan beberapa peluru berpandu balistik sebagai latihan serangan ke atas tapak ujian nuklear Korea Utara.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-In menerusi panggilan telefon lewat semalam bersetuju untuk menghapuskan had kuasa letupan peluru berpandu Korea Selatan yang asalnya ditetapkan pada 500 kilogram mengikut perjanjian dua hala 2001.
Menurut satu kenyataan oleh White House, Trump juga berkata beliau bersetuju untuk meluluskan penjualan senjata dan peralatan ketenteraan AS yang bernilai “berbilion dollar” kepada Korea Selatan.
Ketegangan semakin memuncak di semenanjung Korea selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu, termasuk dua peluru berpandu balistik antara benua (ICBM). – AFP, 5 September, 2017.
Komen