Calon KPN, timbalan dikenal pasti, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim Asila Jalil

Senarai nama bakal ketua dan timbalan polis negara seterusnya sudah ada dan akan diserahkan kepada Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Februari, 2019.

SENARAI calon ketua dan timbalan ketua polis negara yang baharu akan dikemukakan kepada perdana menteri dalam beberapa hari lagi, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Senarai itu memfokuskan kepada beberapa nama sahaja, katanya yang enggan mendedahkan senarai nama tersebut.

“Mungkin kalau saya dapat ketentuan masa dalam sehari dua ini saya selesaikan (serah nama),” katanya kepada pemberita selepas program bertemu pengundi di Semenyih hari ini.

Beliau berkata keputusan akhir terserah kepada perdana menteri untuk menerima nama tersebut untuk dikemukakan bagi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Apa pun ikut peraturan dan perlembagaan. Saya hanya kemuka cadangan ada pindaan itu terserah kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong.”

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun akan tamat tempoh perkidmatan pada Mei dan Timbalannya Noor Rashid Ibrahim pada Mac.

Beliau turut menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa Pakatan Harapan cuba membeli undi semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih dengan memberi hamper dan tawaran baik pulih rumah.

Katanya, perkara itu tidak melanggar peraturan memadangkan ia dibuat sebelum kempen PRK Semenyih bermula.

“Saya dapat kenyataan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun memaklumkan program itu dibuat sebelum pilihan raya.

“Jadi tak babitkan pilihan raya. Saya rasa ia bukan pelanggaran tapi kalau nak buat laporan buatlah perkara beli undi ini saya dah kerah beri arahan dalam taklimat untuk jentera patuh peraturan SPR.” – 22 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen