AEROTRAIN yang menghubungkan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan bangunan satelit itu rosak petang semalam memaksa penumpang berjalan kaki di atas landasan, lapor New Straits Times.
Video yang menunjukkan kira-kira 20 penumpang berjalan kaki ke terminal utama KLIA pada jam 5.30 petang itu menjadi viral.
Laporan juga memetik Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) Badlisham Ghazali sebagai berkata, kerosakan dua buah aerotrain itu sepatutnya dibaik pulih pada akhir tahun selepas hampir dua dekad beroperasi.
“Kami juga di pertengahan kerja penyelenggaraan bagi kedua-dua keretapi.”
Badlisham berkata seorang jurutera dihantar sebaik sahaja dimaklumkan kejadian semalam.
“Bagaimanapun, penumpang telah membuka pintu keretapi dan mula berjalan kaki di atas landasan sebelum jurutera tiba.
“Manakala lima penumpang lagi tinggal di dalam keretapi.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP), sepatutnya ada pengumuman tetapi penumpang tidak sabar hingga mula berjalan kaki,” katanya. Jurutera kemudiannya memandu keretapi ke bangunan secara manual.
Badlisham berkata jurutera akan ditempatkan di dalam keretapi bagi memastikan kejadian yang sama berulang.
NST melaporkan kerosakan ini merupakan yang kedua dalam masa tiga bulan. Kejadian sebelum ini juga memaksa penumpang berjalan kaki sebelum jurutera sempat tiba.
Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Aziz Kaprawi menggesa MAHB menyelesaikan masalah itu namun ia syarikat itu berkata aerotrain masih boleh digunakan untuk lima tahun lagi. – 5 September, 2017.
Komen