Polis serbu rumah bekas pegawai Goldman Sachs, rampas wang tunai, kereta


Kalidevi Mogan Kumarappa

KERETA dan wang tunai RM49,000 dirampas dari rumah bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dalam serbuan dilakukan polis dari unit Anti Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Anti Keganasan (AMLA).

Sumber polis berkata serbuan itu diadakan pada pagi Selasa, merampas sebuah Toyota Alphard, Toyota Prius dan BMW dari rumah Ng di Damansara Heights.

Sumber berkata serbuan itu dibuat berhubung siasatan polis terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ng bekerja di Goldman Sachs untuk menguruskan pengeluaran bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion pada 2012 dan 2013.

Ng kini berdepan pertuduhan di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhubung kes 1MDB.

Di AS, dia didakwa bersama seorang lagi bekas pegawai Goldman, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho kerana membuat pengubahan wang haram berbilion dolar daripada 1MDB, dan merasuah beberapa pegawai rakyat Malaysia dan Abu Dhabi.

Di Malaysia, Ng didakwa kerana bersubahat dalam pelaburan bank berhubung pengeluaran bon 1MDB dengan menerbitkan penyata tidak benar.

Ng, 47, ditahan pada 1 November tahun lalu berdasarkan kepada waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya dari kerajaan AS.

Dia pada awalnya membantah ekstradisi ke AS tetapi pada 15 Februari bersetuju bagi membolehkan dia berdepan pertuduhan di sini.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Ng akan hanya diekstradisi selepas kesnya di mahkamah Malaysia selesai. – 22 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen