Subsidi bukan kewajipan Tabung Haji, kata menteri


Mohd Farhan Darwis Noor Azam Shairi

Mujahid Yusof Rawa berkata subsidi kepada jemaah haji itu hanyalah usaha agensi itu meringankan beban pencarumnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2019.

SUBSIDI kepada jemaah haji selama ini bukan wajib atas Lembaga Tabung Haji (TH) sebaliknya usaha agensi itu meringankan beban pencarumnya menampung kos menunaikan rukun Islam kelima itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.

Katanya, tanggungan subsidi itu tidak jadi masalah ketika perniagaan TH berkembang dan kedudukan ekonomi dalam keadaan baik seperti sebelum ini.

Tanggungan itu bagaimanapun jadi beban ketika kedudukan kewangan TH bermasalah katanya dan kerana itu ia sedang menimbang dasar subsidinya untuk jemaah yang merayu untuk dipercepatkan giliran menunaikan haji.

“Bila masa senang bolehlah (beri subsidi), sekarang masa susah. Bukan benda itu (subsidi) wajib. Wajib (menunaikan haji) dekat kamu (jemaah) bila ada kemampuan. 

“Kami meringankan dengan (keuntungan) perniagaan yang ada untuk beri kemudahan kepada jemaah,” kata Mujahid dalam wawancara bersama The Malaysian Insight di Putrajaya minggu ini.

Mujahid bagaimanapun menegaskan subsidi kekal bagi jemaah yang menunaikan haji untuk kali pertama mengikut giliran kuota bagi musim haji kali ini. Subsidi itu bagaimanapun akan dipertimbangkan mengikut kes bagi bakal jemaah yang membuat rayuan mendapatkan tempat menunaikan haji.

Beliau memberi contoh bakal jemaah berpendapatan tinggi merayu untuk dipercepatkan giliran yang tentunya tidak boleh disamakan dengan jemaah berpendapatan rendah merayu untuk mengiringi mahram uzur.

Mujahid enggan menafikan atau mengesahkan sama ada subsidi bagi jemaah yang membuat rayuan akan dimansuhkan sebaliknya berkata ia akan dilaksanakan secara individu mengikut kes.

“Kos (subsidi jemaah) itu di atas kami, tidak mengapa kita faham. Kita boleh serap sebab kita dah rapatkan jurang aset dan liabiliti,” katanya.

Mujahid mengulas maklumat yang tersebar bahawa mulai musim haji tahun ini TH akan memansuhkan subsidi bagi jemaah haji yang membuat rayuan untuk menunaikan haji serta mereka yang menunaikan haji bukan kali pertama.

Khamis lalu Mujahid mengumumkan kos menunaikan haji bagi jemaah kekal pada RM9,980 walaupun kos sebenar meningkat lagi kepada RM22,900 dengan tanggungan subsidi RM12,920 bagi setiap jemaah haji.

Selepas tular subsidi tersebut akan dimansuhkan bagi jemaah yang membuat rayuan, Sabtu lepas Mujahid menjelaskan TH belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dasar baharu subsidi itu dan perkara itu sedang dalam pertimbangan.

TH memberikan subsidi kepada jemaah haji sejak 2001 yang disifatkan oleh agensi itu sebagai tanggungjawab sosial korporat yang terbesar sehingga membolehkan kos menunaikan haji kekal bagi setiap seorang jemaah walaupun kos sebenar meningkat setiap tahun.

Jumlah subsidi yang diberikan pada 2013 sebanyak RM5,575 melibatkan jumlah keseluruhan RM93 juta meningkat kepada RM12,470 pada 2018 yang keseluruhannya berjumlah RM400 juta.

Maklumat pada laman web TH selain subsidi kos menunaikan haji, agensi itu juga menanggung kos operasi sokongan termasuk bimbingan haji, kebajikan dan perubatan.

Isu subsidi itu berbangkit ketika TH sedang menyusun semula kedudukan kewangannya sejak akhir tahun lalu.

Pada 11 Disember lalu TH memindahkan beberapa aset tidak untung miliknya bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan bertujuan memantapkan semula kedudukan kewangannya.

Menurut Mujahid TH sedar akan tanggungjawab sosial korporatnya dan akan terus memberikan subsidi kepada jemaahnya yang pergi haji untuk kali pertama dan mengikut giliran.

“Kita jelas orang yang dapat pergi mengikut giliran kita teruskan dan kekalkan subsidinya walaupun ia menelan RM305 juta untuk tahun ini.

“Keseluruhan dalam tempoh 10 tahun kita sudah memberi subsidi RM1 bilion kerana kos haji meningkat dan subsidi kekal,” katanya.

Sementara itu, Mujahid enggan mengulas mengenai unjuran dividen atau hibah TH yang dijangka akan diumum pada Mac ini.

“Yang itu, TH akan umum,” katanya. β€“ 22 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen