Kerjasama PAS-BN berterusan di Semenyih, kata Khairy


Asila Jalil

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kerjasama BN dan PAS berterusan di PKR Semenyih dari PRK Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Februari, 2019.

KERJASAMA antara Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih adalah kesinambungan daripada hubungan selepas PRK Cameron Highlands, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata jentera kedua-dua parti bekerjasama seperti diharapkan oleh BN.

“Daripada apa yang saya lihat, jentera dan kerja di peringkat akar umbi berjalan seperti diharapkan, iaitu untuk kerjasama dari Cameron Highlands diteruskan,” katanya kepada wartawan selepas berceramah di Sg Lalang, Semenyih, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan, Ahli Parlimen Lipis Abdul Rahman Mohamad dan Adun Sg Panjang Mohd Imran Tamrin.

Kira-kira 100 orang menghadiri program yang diadakan berhampiran jalan utama di kampung itu. Beberapa kereta dan lori yang melalui jalan itu turut menjerit “Hidup Umno” ketika Khairy menyampaikan ceramah.

Katanya, kedua-dua parti sedang merancang mengadakan ceramah mega.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PAS bersetuju untuk tidak menyokong BN pada PRK Semenyih, susulan pertemuan antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir di Putrajaya.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat dengan Umno di bilik operasi BN di Semenyih pada hari sama, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata mereka hanya berjanji menyokong Dr Mahathir jika berlaku undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen, tetapi tidak sokong Pakatan Harapan di Semenyih. – 22 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen