Pakatan 'berantakan', marak pertikaian Singapura-Malaysia, kata bekas diplomat


Julia Yeow

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih tegas terhadap Singapura, sama kritikal ketika beliau menjawat jawatan sama selama 22 tahun dan sebagai pemimpin BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2019.

KETIDAKSTABILAN politik dalam gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) dan kegagalannya menawan sokongan Melayu memudaratkan hubungan antara Malaysia dan Singapura, kata bekas diplomat Singapura.

Duta besar berkuasa penuh Bilahari Kausikan berkata selepas Barisan Nasional (BN) digantikan oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, “isu bilateral lama hampir serta-merta timbul semula”.

Beliau merujuk kepada pertikaian baru-baru ini berkenaan persempadanan maritim dan kawalan ruang udara bersama, selain rundingan harga air dijual Malaysia pada Singapura yang masih berjalan.

“Isu-isu ini bukan baharu, dan ia tidak boleh diselesaikan,” kata Bilahari pada satu syarahan am di Universiti Nasional Singapura.

“Untuk menyelesaikan satu masalah, kedua-dua pihak perlu mahu menyelesaikannya. Tetapi dalam kes ini, kepentingan sebelah pihak ialah untuk terus hidup menggunakan mereka bagi mendapatkan sokongan.”

Diplomat bersara itu berkata ketegangan antara dua negara terbina lebih daripada sekadar sentimen peribadi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap republik itu.

“Agak salah untuk menekankan terhadap personaliti Dr Mahathir walaupun tidak syak lagi ia antara faktor,” katanya di hadapan lebih 200 penonton.

“Lebih penting, kerajaan baharu PH secara asasnya tidak teratur.

“Ia berpecah belah,” kata Bilahari.

Beliau memetik penyelidikan Merdeka Centre tahun lalu yang menemui undi pengundi Melayu terpecah tiga untuk PH, Umno dan PAS, bermakna sokongan kumpulan etnik terbesar Malaysia dipertikaikan oleh tiga kumpulan Melayu.

Bilahari berkata dapatan itu mendedahkan ketidakstabilan dalam pakatan pemerintah, di mana ia akan semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan lebih besar orang Melayu dengan harapan mengenalkan kuasa pada PRU akan datang.

“Menggunakan Singapura sebagai kambing hitam untuk mendapatkan sokongan Melayu taktik yang sudah digunakan sebelum ini.

“Dr Mahathir menggunakannya ketika beliau mengetuai Umno, beliau menggunakannya sekarang ketika mengetuai Bersatu.

“Ini bukan saja hal personaliti atau beban sejarah.”

Dalam syarahannya, Bilahari berkata beliau menjangkakan senario politik Malaysia akan kekal berubah-berubah bagi masa akan datang, kerana pergaduhan dalaman PH dan berkembangnya ancaman fundamentalisme Islamik. – 22 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen