SEORANG lelaki Sepanyol yang mendakwa mempunyai keputusan DNA menunjukkan dia anak lelaki Julio Iglesias, memfailkan saman paterniti semalam, terhadap penyanyi yang juga penerima anugerah Grammy itu.
Javier Sanchez Santos, 41, mengemukakan saman itu di mahkamah di Valencia di mana dia bermastautin, kata peguamnya Fernando Osuna.
Osuna berkata ibu Santos yang juga penari balet Portugis dikenali sebagai Maria Edite pernah memfailkan saman sama terhadap penyanyi itu pada 1992 namun ditolak akibat kesilapan prosedur.
Edite dalam tuntutan saman itu mendakwa menjalinkan hubungan singkat bersama Iglesias pada 1975 ketika penyanyi legenda Sepanyol berkenaan masih bergelar suami kepada sosialit Isabel Preysler.
Santos kini mahu membuka semula kes itu berdasarkan keputusan ujian DNA ke atas tisu dan puntung rokok yang pernah disentuh Iglesias.
Osuna berkata semua bahan itu dikumpul oleh penyiasat persendirian dari kediaman Iglesias di Miami.
“Keputusan ujian itu menunjukkan terdapat 99% kemungkinan Santos ialah anak kandung Iglesias,” katanya.
Beliau berkata anak guamnya sangat gembira dan berpuas hati kerana sains dan genetik membuktikan dia benar.
“Mengarut kalau mahkamah tidak mahu terima bukti saintifik,” katanya.
Jika mahkamah Valencia menolak saman itu, Osuna berkata mereka mungkin merayu ke mahkamah lebih tinggi di Sepanyol, hingga ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg.
Iglesias, 73, mempunyai tiga anak bersama Preysler – termasuk bintang pok Enrique – dan lima lagi anak dengan temannya sekarang Miranda Rijnsburger.
Terkenal dengan kehidupan romantiknya, Iglesias antara nama besar dalam dunia muzik Latin, dengan lebih 300 juta albumnya terjual sepanjang berdekad kariernya. – AFP, 5 September, 2017.
Komen