Sebarang pengurangan khidmat awam akan dibuat berperingkat, kata Muhyiddin 


Asila Jalil Diyana Ibrahim

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Semenyih hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Februari, 2019

PENJAWAT awam diminta agar tidak memberi reaksi berlebihan terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung pengurangan saiz penjawat awam dan memberi jaminan kepada mereka bahawa sebarang langkah demikian akan dibuat secara teratur dan berperingkat.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Dr Mahathir itu adalah dalam konteks negara melalui proses industrialisasi yang mana tenaga kerja manusia akan digantikan dengan mesin.

“Adalah lebih baik mereka membaca kenyataan itu. Beliau kata mungkin akan ada perubahan, proses indistrialisasi dalam jentera dan teknologi,” katanya pada sidang media di Semenyih hari ini.

Muhyiddin berkata proses mengurangkan jumlah penjawat awam perlu dilakukan secara berperingkat.

“Saya harap kenyataan itu tidak disalah erti.

“Saya tahu ia tidak popular. Penjawat awam pasti marah dan mereka takkan sokong PH.

“Saya hanya mahu katakan saya tidak setuju sekiranya (Dr Mahathir) mahu kurangkan jumlah penjawat awam sama ada esok atau tahun depan,” katanya.

Terdahulu hari ini, perdana menteri berkata saiz penjawat awam terlalu besar dan ia perlu dikurangkan dengan menggunakan teknologi maklumat dan komputer. 

Bagaimanapun beliau akui masalah tambahan akan berlaku sekiranya penjawat awam dikurangkan, seperti kadar pengangguran di negara ini. – 21 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen