Jabatan Pilihan Raya terima 5 permohonan calon presiden Singapura


JABATAN Pilihan Raya Singapura menerima lima permohonan bagi Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti untuk pilihan raya presiden apabila tempoh permohonan ditutup semalam.

“Daripada lima pemohon, tiga orang memohon bagi Sijil Masyarakat Melayu, seorang memohon Sijil Masyarakat Cina dan seorang mengisytiharkan beliau tidak menganggap dirinya sebagai ahli masyarakat Cina, masyarakat Melayu ataupun dari kaum minoriti yang lain,” menurut Jabatan itu menerusi laman webnya.

“Oleh kerana Pilihan Raya Presiden kali ini dikhaskan untuk calon masyarakat Melayu, Jawatankuasa Komuniti harus menolak pengisytiharan masyarakat jika pembuat akuan tidak menyatakan beliau menganggap dirinya sebagai ahli masyarakat yang calon pilihan raya dikhaskan untuk komuniti tersebut,” kata jabatan itu.

Hari Pencalonan ialah pada 13 September dan jika lebih seorang calon dicalonkan pada hari penamaan calon, 23 September akan diisytiharkan sebagai hari mengundi.

Tiga calon berpotensi dari masyarakat Melayu yang mengemukakan permohonan ialah bekas speaker Parlimen Halimah Yacob, 63, dan dua ahli perniagaan iaitu Mohamed Salleh Marican, 67, dan Farid Khan Kaim Khan, 62.

Sebagai sebahagian daripada proses sebelum dicalonkan, calon yang berpotensi perlu memohon Sijil Kelayakan daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Singapura.

Pada masa sama, mereka perlu mengemukakan pengisytiharan masyarakat kepada Jawatankuasa Komuniti untuk mengesahkan kumpulan etnik mereka.

Jika jawatankuasa tidak bersetuju, calon akan menerima notis penolakan. – Bernama, 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen