ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim patah tulang rusuk dan cedera di bahagian paru-paru ketika dibawa ke hospital, kata doktor yang pertama kali merawatnya di mahkamah hari ini.
Dr Nantha Kumeran yang berada di dalam bilik kecemasan berkata ketika Adib dibawa masuk, dia melihat lebam di sebelah kanan dada lelaki itu.
“Apabila saya sentuh sebelah kanan dadanya saya dapat dengar bunyi retak, ia seperti tulang rusuknya patah.
Dia juga pada awalnya menyangkakan ia adalah pneumothorax (paru-paru bocor).
Nantha memberitahu mahkamah dia tidak melihat apa-apa lebam atau tanda lain di bahagian abdomen selain sebelah kanan tubuh mangsa.
“Tiada tanda juga pada leher atau muka. Kedua-dua bahagian atas dan bawah mangsa juga tidak mengalami patah tulang,” katanya.
Katanya, dia kemudian memanggil juru x-ray dan melakukan intubasi untuk Adib yang ketika itu susah untuk bernafas.
“Dia cuba nak bernafas. Kami meletakkan tiub dari mulutnya ke saluran pernafasan bagi membantunya bernafas.
“Kami terpakasa memasukkan tiub di bahagian dada apabila tahap oksigennya semakin rendah,” katanya.
Beliau juga memberitahu mahkamah tekanan darah Adib rendah dan dia tidak bertindak balas.
“Dia hanya membuat bunyi dan tahap kesedarannya juga rendah.
Nantha juga menunjukkan imej x-ray dari rusuk dan paru-paru Adib.
Katanya, tulang rusuk kedua, ketiga, keempat dan kelima mengalami keretakan dan luka.
“Biasanya paru-paru berwarna hitam dalam sinar X tetapi di sini ada tompok putih di seluruh paru-paru menandakan adanya kecederaan,” katanya ketika ditanya oleh DPP tentang mengapa sinar X diperlukan.
“Dari kecederaan paru-paru itu seolah-olah kesan trauma tumpul,” katanya.
Beliau juga memberitahu koroner Rofiah Mohamad Mansor bahawa ada berlaku kebocoran udara akibat paru-paru yang ditusuk.
“Setelah mangsa diintubasi kami lihat dinding dadanya mulai membengkak, perut, skrotum dan muka turut bengkak. Kami mengesyaki ada kebocoran udara di bawah kulit.
“Kebocoran itu datang dari paru-paru,” katanya.
Apabila ditanya sama ada ada tanda atau lebam lain pada badan Adib pada masa itu, Nantha berkata dia hanya melihat lebam di sebelah kanan dadanya.
“Saya periksa seluruh badannya masa itu tetapi tidak ada kecederaan lain,” katanya.
Peguma keluarga Adib, Kamarulzaman A Wahab kemudian menunjukkan gambar Adib kepada doktor untuk melihat sama ada dia boleh mengenal pasti tanda lain di badan mangsa.
“Ya saya dapat lihat garis yang kelihatan sekarang tetapi saya tidak dapat memberitahu apa puncanya. Tetapi saya nampak malam itu hanya ada tanda pada sebelah kanan mangsa,” katanya ketika peguam bertanya apakah dia melihat tanda itu pada malam itu.
“Saya memeriksa tetapi tidak melihat tanda yang anda tunjukkan saya sekarang. Saya lihat tanda pada dadanya lebih utama. Saya tak lihat kecederaan lain yang mengancam nyawa,” katanya.
Dia berkata dia mencatat segala kecederaan yang dilihatnya di badan Adib pada malam itu. – 21 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen