GOLONGAN individu bujang berpendapatan rendah lebih suka jika diberikan subsidi perubatan dan barangan runcit, berbanding wang tunai RM100 Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan baru-baru ini dan akan menyebabkan kerajaan membelanjakan RM300 juta.
Kerajaan semalam mengumumkan ia akan mengembalikan bantuan kepada individu bujang daripada kumpulan B40, dengan bayaran dibuat pada penghujung Mac.
Sebahagian penerima bantuan itu bagaimanapun tidak gembira dengan bayaran RM100 itu.
Daripada diberikan bayaran RM100, golongan bujang ini mencadangkan supaya kerajaan mengkaji bantuan untuk mereka menerusi subsidi perubatan dan barangan runcit, serta kadar faedah lebih rendah bagi pinjaman bank.
Di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu Barisan Nasional, individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tunai RM450. Kategori itu dimansuhkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Program BSH ialah kesinambungan daripada program BR1M yang memberikan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan bawah 40% (B40) bagi menangani kos sara hidup.
Ibu tunggal Abigail Chu, 28, yang layak menerima bantuan itu berkata bayaran RM100 “tidak masuk akal” dan tidak berguna bagi dirinya.
“Apa gunanya bayaran itu? Kami tidak minta bantuan itu,” katanya, menambah bayaran BR1M dulu lebih berguna berbanding RM100 itu.
Abigail, yang bekerja dalam bahagian jualan menjadi sumber pendapatan utama untuk keluarganya, berkata kerajaan patut fokus memberi bantuan kepada orang bujang, terutama ibu bapa, dengan inisiatif lain, contohnya pinjaman bank.
“Kadar faedah lebih rendah bagi pinjaman bank untuk golongan bujang beli rumah dan kereta atau subsidi kerajaan akan lebih baik berbanding RM100, itu terutama bagi ibu tunggal seperti saya,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 21 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen