PIHAK berkuasa Bangladesh memaksa lebih 2,000 etnik Rohingya meninggalkan pulau yang dijadikan mereka sebagai tempat persembunyian selepas melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar, kata pihak berkuasa pada Isnin.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata 87,000 pelarian Rohingya melangkau sempadan dan memasuki Bangladesh sejak keganasan tercetus di Rakhine 10 hari lalu.
Kebanyakannya memasuki negara itu menerusi laluan darat dan juga air dengan menyeberangi Sungai Naf yang menjadi sempadan pemisah dua negara terbabit.
Berikutan terdesak, ada yang bertindak berani meredah lautan untuk ke pulau St Martin, iaitu sebuah pulau kecil yang terpencil sembilan kilometer dari perairan Bangladesh.
Pihak berkuasa berkata, 9,000 penduduk di pulau terbabit berkongsi ikatan budaya yang hampir sama dengan Rohingya malah bertutur dalam bahasa yang sama, bertindak menyembunyikan sekitar 2,000 pelarian yang tiba, namun mereka diarahkan untuk serahkan semua pelarian kepada pihak berkuasa.
Rohingya merupakan etnik minoriti Islam yang tidak bernegara yang mana menurut kumpulan hak asasi manusia berdepan dengan kekejaman sejak beberapa dekad lalu kebanyakannya membabitkan penganut Buddha di Myanmar.
Ketua majlis tempatan Noor Ahmad berkata pembesar suara masjid digunakan untuk menggesa penduduk menyerahkan etnik Rohingya yang tiba di pulau itu kepada pengawal pantai.
“Mereka meminta kami membantu mencari etnik Rohingya dengan apa cara sekalipun dan bawa ke kem pengawal pantai,” kata Ahmad.
Seorang lagi pemimpin tempatan, Farid Ahmed berkata, 2,011 Rohingya termasuk kanak-kanak dikumpulkan di ibu pejabat pengawal pantai pada petang Ahad sebelum dibawa pergi.
“Kanak-kanak Rohingya menangis, tapi ini arahan kerajaan. Apa yang kami boleh lakukan?” kata Ahmed kepada AFP.
“Mereka (Rohingya) berkata, ke mana kami patut pergi? Mereka (tentera Myanmar) membunuh kami di sana. Rumah kami dibakar. Mereka menembak kami.”
Kedua-dua lelaki berkenaan berkata Rohingya dihantar semula ke Myanmar dengan bot.
Salah seorang pegawai kanan pasukan keselamatan yang enggan identitinya didedahkan memberitahu AFP, Rohingya dihantar pulang ke Myanmar pada waktu malam dan diiringi pasukan keselamatan sempadan.
Pengawal pantai Bangladesh memintas dan menghantar pulang ratusan pelarian ketika mereka hampir tiba ke pulau berkenaan, kata pihak berkuasa.
Bangladesh teah menempatkan sekitar 400,000 pelarian Rohingya sebelum krisis yang terbaharu ini dan menjelaskan mereka tidak akan menerima lagi pelarian lain.
Namun sukar untuk membendung aliran masuk pelarian yang terdesak untuk menyelamatkan diri daripada keganasan yang berlaku di negeri Rakhine, di mana mereka mendakwa masyarakat mereka menderita selepas diperlakkukan dnegan kejam oleh anggota tentera dan pelampau Buddha.
Menurut pihak berkuasa kira-kira 2,011 pelarian Rohingya yang berada di pulau berkenaan tiba sejak beberapa hari lalu. – AFP, 4 September, 2017.
Komen